Memaparkan catatan dengan label hak asasi manusia. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label hak asasi manusia. Papar semua catatan

Rabu, 25 Mac 2026

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu


"Satu tempat di mana semua negara dunia boleh berkumpul, membincangkan isu atau masalah bersama dan mencari jalan penyelesaian demi manfaat seluruh umat manusia"

Memandangkan bahasa Melayu bukan merupakan salah satu daripada bahasa amali di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) maka aku perbuat satu laman untuk rujukan mengenai badan antarabangsa tersebut dalam bahasa Melayu.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) atau bahasa Inggerisnya United Nations (UN) ialah sebuah pertubuhan antarabangsa yang ditubuhkan pada tahun 1945. PBB kini dianggotai oleh sebanyak 193 Negara Anggota. Aktiviti PBB dipandu oleh tujuan serta prinsip yang terkandung dalam Piagam penubuhannya. Sepanjang kewujudannya, PBB telah berkembang dan menyesuaikan keberadaannya dengan situasi dunia yang berubah pantas. Namun, satu perkara yang tetap tidak berubah adalah ia kekal sebagai satu-satunya tempat di mana semua negara dunia boleh berkumpul, membincangkan isu atau masalah bersama dan mencari jalan penyelesaian demi manfaat seluruh umat manusia.

Rujukan dalam bahasa Inggeris boleh diakses melalui laman sesawang "United Nations" di mana berita-berita, kenyataan dan isu semasa di seluruh dunia dipaparkan untuk rujukan penduduk dunia. Selain daripada itu, teks yang dipetik dan diterjemah daripada dokumen rasmi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk kefahaman orang awam mengenai peranan yang dimainkan olehnya. Sebelum 17 September 1987, dasar organisasi tersebut menyatakan bahawa ia tidak menuntut hak cipta, dengan mengekalkan kebanyakan dokumennya dalam domain awam bagi tujuan penyebaran sebanyak mungkin idea dan kesedaran yang terkandung dalam Penerbitan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Khamis, 20 Mac 2025

Beijing +30



Pada tahun 2025, komuniti global akan menyaksikan ulang tahun ketiga belas Persidangan Dunia Keempat mengenai Wanita dan penerimaan Perisytiharan Beijing serta Platform Tindakan (1995). Sesi ke-69 Suruhanjaya mengenai Status Wanita (CSW69) akan berlangsung di Ibu Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York, Amerika Syarikat dari 10 hingga 21 Mac 2025. Wakil dari negara anggota, entiti PBB, dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang diselia oleh ECOSOC dari seluruh dunia juga dijemput menghadiri sesi ini.
Beijing+30: Syor Belia dan Remaja Sedunia

Secara ringkasnya, Perisytiharan Beijing dan Platform Tindakan ini adalah perancangan yang paling komprehensif pernah dihasilkan bagi mencapai hak saksama untuk SEMUA wanita serta gadis. Ia dipersetujui oleh 189 kerajaan pada tahun 1995 di Persidangan Dunia mengenai Wanita Keempat. Platform Tindakannya pula bertumpukan kepada 12 bidang tindakan yang dirujuk sebagai "bidang kritikal yang berkenaan". Hal ini meliputi peluang pekerjaan dan ekonomi, penyertaan dalam politik, keamanan, persekitaran, mengakhiri keganasan ke atas wanita dan banyak lagi. 
Infografik di atas boleh didapati dari perpustakaan maya di laman sesawang What is Beijing +30 oleh UN Women: Asia and the Pacific.

Rabu, 17 April 2024

Hak Asasi Manusia

Hak asasi manusia merujuk kepada prinsip moral atau norma yang menjelaskan mengenai standard tertentu bagi tabiat atau tingkah laku manusia. Ia selalunya dilindungi dalam undang-undang antarabangsa dan undang-undang domestik sesebuah negara. 

Gambar hiasan dipetik dari laman sesawang UNESCO. Ia adalah sebuah buku berjudul "Human rights education: Key success factors" terbitan tahun 2023. Mohon masukkan maklumat lanjut berkenaan dengan bidang hak asasi manusia untuk dijadikan sebagai rujukan bagi pengajian yang berkaitan. Sekian, terima kasih.

Selasa, 21 Mac 2023

Hak Asasi Manusia dan Sains Sosial

Aku telah membuat satu carian di enjin "Google" dengan kata kunci "is human rights a social studies?" Lalu keluarlah beberapa rujukan mengenai hal ini. Menurut jawapan yang diberikan, hak asasi manusia bukanlah satu bidang akademik yang berdiri sendiri, sebaliknya juga adalah satu topik utama dan komponen penting yang diajarkan dalam bidang "sains sosial".

Jadi, bagaimanakah bidang hak asasi manusia ini disesuaikan dalam sains sosial? Sains sosial adalah bidang yang mengkaji hubungan manusia, komuniti, sistem kerajaan dan juga tanggungjawab sivik. Jadi, hak asasi manusia umumnya berada dalam kerangka ini menerusi beberapa bidang utama iaitu:

  • Sivik dan Kerajaan yang mempelajari mengenai undang-undang, perlembagaan dan bagaimana kerajaan melindungi atau melanggar kebebasan asasi individu;
  • Sejarah iaitu mempelajari pergerakan sosial, revolusi dan pergelutan dalam sejarah untuk mencapai kesaksamaan serta keadilan; dan
  • Pengajian Global yang menerokai perjanjian antarabangsa contohnya seperti Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR) serta kewarganegaraan global.
Jadi, adakah hak asasi manusia ini berada dalam sains sosial? Walaupun pelbagai pusat pengajian mengajar hak asasi manusia di bawah payung sains sosial, namun hak asasi manusia sendiri adalah bidang yang merentasi pelbagai disiplin ilmu. Jadi, ia juga melibatkan bidang undang-undang yang mengkaji perlindungan undang-undang domestik serta antarabangsa. Ia melibatkan falsafah yang membincangkan mengenai prinsip moral dalam mempertahankan maruah manusia. Di samping itu, ia melibatkan juga bidang sosiologi dan antropologi yang memahami bagaimana budaya melihat kesaksamaan dan tabiat manusia.

Menurut National Council for the Social Studies di Amerika Syarikat, menerokai hak asasi manusia membantu pelajar membina kemahiran berfikir yang kritis yang mana ia diperlukan bagi seseorang individu itu menjadi seorang ahli masyarakat yang aktif dan bertanggungjawab. 

Isnin, 14 Mei 2018

Pelanggaran Hak Asasi Manusia


Aku sering kebingungan hendak menjawab mengenai definisi pelanggaran hak asasi manusia ini. Aku diberitahu oleh mereka yang memberikan latihan asas hak asasi manusia bahawa hak asasi manusia itu adalah seperti yang didefinisikan oleh Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OHCHR). Namun, aku mendapati bahawa definisi yang diberikan oleh mereka itu sebenarnya tidak membantu langsung untuk memberikan kefahaman mengenai apakah situasi yang melibatkan pelanggaran hak asasi manusia kepada rakyat Malaysia yang rata-ratanya bercakap atau komplen saja pandai tapi benda-benda yang asas pun mereka tidak jelas.

Pelanggaran Hak Asasi Manusia

Menurut yang aku fahami hasil dari godekan enjin carian google, disebutkan bahawa negara adalah pelindung utama kepada hak asasi manusia rakyat. Negara berkuasa untuk mengambil tindakan yang perlu bagi melindungi hak asasi manusia rakyatnya. Oleh itu, negara bertanggungjawab jika berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini ke atas rakyatnya.

Situasi yang membawa kepada pelanggaran hak asasi manusia boleh timbul dalam kes-kes seperti berikut:
  • Pencabulan hak asasi manusia oleh negara - pelanggaran hak asasi manusia boleh dilakukan oleh mereka yang berkhidmat untuk negara. Sikap dan tindak-tanduk mereka dianggap sebagai sikap dan tindak-tanduk negara. Agen-agen negara ini boleh jadi adalah pejawat awam atau kakitangan kerajaan tempatan, anggota polis, pendakwaraya, hakim dan sebagainya. Contohnya, hak kita untuk perbicaraan yang adil telah dilanggar oleh hakim yang tidak membenarkan kita untuk memberikan hujah di Mahkamah dalam situasi yang memang dibenarkan oleh undang-undang. Dalam situasi ini, negara telah terang-terang melanggar hak asasi manusia kita kerana Mahkamah (dan juga hakim) adalah merupakan sebahagian daripada sistem negara. 
  • Kegagalan negara untuk melindungi hak asasi manusia - hal ini adalah keadaan negara yang tidak melindungi hak asasi manusia rakyat apabila ia mempunyai kewajipan untuk berbuat demikian. Dalam kes ini, masalah mungkin timbul antara kita dengan seorang lagi individu dan negara sepatutnya tampil untuk melindungi kita, sebaliknya ia tidak mengendahkan keadaan kita itu. Sebagai contoh, jika kita diserang di jalanan. Negara bertanggungjawab untuk menyiasat jenayah ini dan menghukum mereka yang bertanggungjawab. Agen negara yang menjalankan kewajipan ini adalah pihak polis dan pihak pendakwaraya. Walau bagaimanapun, penting sekali untuk membuat perbezaan mengenai tindakan penyerang tersebut. Tindakan penyerang tersebut dikategorikan sebagai tindakan melanggar undang-undang negara dan satu jenayah. Ia bukan dikategorikan sebagai tindakan yang melanggar hak asasi manusia. Jika pihak polis tidak menjalankan siasatan dengan baik terhadap tindakan jenayah tersebut dan kita ditinggalkan terkontang-kanting begitu sahaja, maka hal ini barulah dikategorikan sebagai pelanggaran hak asasi manusia.
Penting juga untuk diingati bahawa sebarang perubahan negatif atau insiden yang melibatkan salah seorang ahli masyarakat tidak semestinya membawa kepada situasi yang menghasilkan pencabulan hak asasi manusia. Negara tidak diwajibkan untuk masuk campur dalam setiap situasi dalam kehidupan ahli masyarakat. Sebagai contoh, kita mungkin tersinggung atau sakit hati dengan sikap kurang ajar jiran kita. Kita mungkin tidak puas hati apabila jiran kita membuat pencemaran bunyi atau bunyi bising. Apabila kita menegur mereka, mereka hanya buat bodoh saja. Negara biasanya tidak masuk campur dalam situasi sebegini dan hal ini tidak membawa kepada sebarang pelanggaran hak asasi manusia.

Rujukan
  • What is a human rights violation, human rights guide (online)
  • ESCR Training Course, Human Rights Library (online)
  • Human Rights Case Studies EHRC (online)
Source Pic: Drafting of Human Rights Act 1998 (Remedial) Order 2018 should be Considered, Joint Select Committee of the UK Paliament, 21 November 2018 (online) 

Ahad, 1 April 2018

Hak Asasi Manusia Pelaut

Rang Undang-Undang Ordinan Perkapalan Saudagar (Pindaan) 2016 yang dibentang dan digulung oleh Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Aziz Kaprawi diluluskan di Parlimen Malaysia pada 2016. 

Pindaan rang undang-undang ini bertujuan untuk:
  • menyeragamkan perundangan maritim negara agar selaras dengan komuniti maritim antarabangsa; dan
  • merealisasikan hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maritim yang ulung.  
Malaysia menerimapakai Konvensyen Buruh Maritim 2006 pada 31 Julai 2013 yang mempunyai peraturan dan piawaian termasuk berhubung dengan hal ehwal kebajikan pelaut. Konvensyen itu antara lain menuntut hak pelaut untuk mendapatkan persekitaran kerja yang selesa dan selamat, peruntukan minimum pelaut bekerja atas kapal, penginapan dan perlindungan keselamatan sosial.

Khamis, 30 Mac 2017

Pengajian Hak Asasi Manusia


Berdasarkan pembacaan aku, Pusat Pengajian Hak Asasi Manusia Doha di Qatar mewakili Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OHCHR) menjadi perintis dalam mempromosi dan menjunjung hak asasi manusia dengan melaksanakan program latihan dengan fokus wahana bahasa Arab bagi menangani keperluan di negara-negara Teluk. Ia bertujuan untuk meningkatkan lagi kemampuan nasional di seluruh rantau Teluk. Program yang diberikan termasuklah latihan untuk para diplomat, pegawai penguatkuasa undang-undang, hakim, pendakwa raya, peguam, institusi hak asasi manusia, agensi kerajaan, wartawan dan profesional bidang media, pertubuhan masyarakat sivil dan pejuang hak asasi manusia. Selain itu, pusat ini juga menawarkan kursus dengan tema khas contohnya seperti hak ekonomi, sosial dan kebudayaan, penanda aras hak asasi manusia serta kaedah melatih jurulatih dalam mereka bentuk, menguruskan dan menyampaikan program latihan hak asasi manusia.

Di Malaysia pula, aku dapati bahawa kursus sebegini diberikan oleh Badan Bukan Kerajaan (NGO) atau mungkin juga Institusi Hak Asasi Manusia Nasional (NHRI) namun ia dijalankan secara berkala, strategik atau rawak disebabkan oleh faktor kekangan contohnya seperti kewangan, kemampuan, sokongan dan komitmen pemuka politik atau pun ruangan. Selain daripada itu, tiada kursus khas peringkat pensijilan yang diiktiraf oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) yang khusus bagi bidang hak asasi manusia. Maka, bidang ini dilihat sebagai masih lagi terumbang ambing terutama sekali dalam dunia yang dipacu oleh perkembangan dan kemajuan Kecerdasan Buatan (AI). Oleh itu, aku mengambil keputusan untuk menyimpan dahulu nota-nota aku sebagai rujukan untuk kegunaan aku sendiri di masa hadapan.
Rujukan lanjut untuk nota rujukan boleh juga dibuat dalam "Human Rights" di laman sesawang Wikipedia, ensiklopedia terbuka kerana ia mengandungi buku rujukan yang boleh dicari bagi menambahkan wawasan berkenaan bidang ini. Mohon jasa baik masyarakat dunia membantu dalam menyokong usaha laman sesawang tersebut dari segi dana kewangan juga supaya ilmu pengetahuan dapat dikongsi bersama oleh penduduk dunia yang tidak berkesempatan belajar di institusi pendidikan. Sekian, terima kasih.