Pengkritik pandangan bahawa hak asasi manusia bersifat sejagat berhujah bahawa hak asasi manusia ini merupakan konsep Barat yang "bersumberkan kepada warisan Eropah, Judeo Kristian dan Zaman Kesedaran yang lazimnya dikaitkan dengan Barat dan tidak dapat dinikmati oleh kebudayaan lain yang tidak mencontohi keadaan serta nilai masyarakat Barat.
Sementara itu, pengkritik hak asasi manusia daripada golongan haluan kanan berhujah bahawa hak tersebut merupakan "norma yang tidak realistik dan tidak boleh dikuatkuasakan serta merupakan campur tangan yang tidak wajar terhadap kedaulatan negara". Selain daripada itu, pengkritik berhaluan kiri pula berhujah bahawa hak tersebut gagal "mencapai" atau menghalang pendekatan yang lebih baik untuk mencapai matlamat progresif.
Simone Weil mengutarakan hujah agar tumpuan diberikan kepada kewajipan manusia berbanding hak individu. Beliau memperjuangkan usaha membangunkan semula Perancis Bebas atau Free France berasaskan rangka kerja kewajipan dan keperluan serta memberi amaran terhadap sistem yang dibina atas dasar hak semata-mata. Weil berpandangan bahawa dalam budaya moral kita yang berpusatkan kepada hak individu, kita seolah-olah sentiasa berpaling daripada penderitaan orang lain kerana kita kekurangan kekuatan moral untuk menghadapi bentuk penderitaan yang paling ekstrim. Beliau menegaskan bahawa semua manusia berkongsi kewajipan sejagat walaupun dizahirkan secara berbeza dalam konteks yang berlainan. Selain itu, "tanggungjawab terhadap insan itu sendiri, itulah satu-satunya perkara yang kekal abadi."
Weil melihat hak dan kewajipan sebagai saling bergantung iaitu kewajipan terletak pada diri kita sendiri manakala hak hanya wujud apabila orang lain mengakui tanggungjawab mereka terhadap kita. Seseorang yang bersendirian di alam semesta tidak akan mempunyai hak, namun tetap memikul kewajipan. Beliau menekankan bahawa sementara hak bersifat bersyarat, kewajipan pula bersifat mutlak dan sejagat. Rujuk juga karya Simone Weol & Kate Kirkpatrick (2003) dalam "Introduction". The need for roots: prelude to a declaration of obligations towards the human being terbitan Penguin Classics.
Buku European Political Science oleh Arnie Nieman et. al. (2015) menyebut bahawa penilaian terhadap hak asasi manusia boleh menunjukkan wujudnya bias politik yang sistematik.