Umumnya, hak asasi manusia ini difahami seperti berikut:
- Hak yang tidak dapat dipisahkan di mana seorang manusia itu secara semulajadinya berhak terhadapnya kerana dia adalah seorang manusia. Hak asasi ini secara semulajadinya menjadi hak bagi setiap manusia tanpa mengira bangsa, lokasi, bahasa, agama, bangsa, etnik dan status lain.
- Hak yang terpakai di merata tempat pada setiap masa dalam erti kata bahawa ia adalah hak yang sejagat. Hak asasi manusia ini bersufat saksama iaitu ia sama bagi setiap manusia. Seseorang itu dianggap sebagai memerlukan empati. Kedaulatan undang-undang memastikan bahawa seseorang itu mematuhi kewajipan menghormati hak asasi manusia yang lain.
- Hak yang tidak boleh dirampas dari sesiapa pun kecuali apabila melibatkan beberapa proses berdasarkan kepada keadaan tertentu. Contoh hak asasi manusia yang tergugat adalah seperti seseorang itu dipenjarakan tanpa sebarang perbicaraan, diseksa dan juga dihukum secara tidak adil.
Doktrin hak asasi manusia sangat mempengaruhi undang-undang antarabangsa dan institusi global serta serantau. Tindakan yang diambil oleh negara dan organisasi bukan kerajaan (NGO) membentuk asas kepada dasar awam ini di seluruh dunia. Buah fikiran hak asasi manusia ini mencadangkan bahawa, "sekiranya perbincangan umum berkenaan masyarakat global di saat aman boleh dikatakan sebagai mempunyai bahasa moral yang sama, maka ia akan dikira sebagai hak asasi manusia." Dakwaan kuat yang terhasil dari doktrin hak asasi manusia ini terus mencabar keraguan yang munasabah dan menimbulkan perdebatan tentang isi kandungan, ciri serta justifikasi hak asasi manusia hingga ke hari ini.
Makna yang tepat bagi istilah hak asasi manusia ini bersifat kontroversi. Ia tertakluk kepada debat falsafah yang tidak berpenghujung. Walaupun terdapat pesetujuan umum bahawa hak asasi manusia ini merangkumi hak yang pelbagai serta meluas seperti hak kepada perbicaraan yang adil, hal kepada perlindungan dari perhambaan, hak terhadap larangan melakukan pembantaian (genocide), hak kebebasan bersuara dan hak kepada pendidikan termasuklah kepada pendidikan seks yang komprehensif namun wujud juga percanggahan pendapat tentang hak yang mana satu daripada hak-hak ini yang sepatutnya dimasukkan dalam kerangka kerja umum hak asasi manusia. Sesetengah pemikir mencadangkan bahawa hak asasi manusia mestilah menjadi keperluan yang minimum bagi mengelakkan kes pelanggaran hak asasi manusia yang serius manakala pemikir lain pula melihat hal ini sebagai satu standard yang lebih tinggi daripada itu.
