Selasa, 21 Mac 2023

Hak Asasi Manusia dan Sains Sosial

Aku telah membuat satu carian di enjin "Google" dengan kata kunci "is human rights a social studies?" Lalu keluarlah beberapa rujukan mengenai hal ini. Menurut jawapan yang diberikan, hak asasi manusia bukanlah satu bidang akademik yang berdiri sendiri, sebaliknya juga adalah satu topik utama dan komponen penting yang diajarkan dalam bidang "sains sosial".

Jadi, bagaimanakah bidang hak asasi manusia ini disesuaikan dalam sains sosial? Sains sosial adalah bidang yang mengkaji hubungan manusia, komuniti, sistem kerajaan dan juga tanggungjawab sivik. Jadi, hak asasi manusia umumnya berada dalam kerangka ini menerusi beberapa bidang utama iaitu:

  • Sivik dan Kerajaan yang mempelajari mengenai undang-undang, perlembagaan dan bagaimana kerajaan melindungi atau melanggar kebebasan asasi individu;
  • Sejarah iaitu mempelajari pergerakan sosial, revolusi dan pergelutan dalam sejarah untuk mencapai kesaksamaan serta keadilan; dan
  • Pengajian Global yang menerokai perjanjian antarabangsa contohnya seperti Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR) serta kewarganegaraan global.
Jadi, adakah hak asasi manusia ini berada dalam sains sosial? Walaupun pelbagai pusat pengajian mengajar hak asasi manusia di bawah payung sains sosial, namun hak asasi manusia sendiri adalah bidang yang merentasi pelbagai disiplin ilmu. Jadi, ia juga melibatkan bidang undang-undang yang mengkaji perlindungan undang-undang domestik serta antarabangsa. Ia melibatkan falsafah yang membincangkan mengenai prinsip moral dalam mempertahankan maruah manusia. Di samping itu, ia melibatkan juga bidang sosiologi dan antropologi yang memahami bagaimana budaya melihat kesaksamaan dan tabiat manusia.

Menurut National Council for the Social Studies di Amerika Syarikat, menerokai hak asasi manusia membantu pelajar membina kemahiran berfikir yang kritis yang mana ia diperlukan bagi seseorang individu itu menjadi seorang ahli masyarakat yang aktif dan bertanggungjawab.