Pengenalan mengenai Hak Asasi Manusia

Hak asasi manusia adalah hak yang dimiliki hanya kerana kita wujud sebagai seorang manusia. Ia bukan kurniaan dari sebarang negara pun kepada kita. Hak yang sejagat ini wujud secara semulajadi dalam diri kita tanpa mengira kewarganegaraan, jantina, kebangsaan, suku kaum, warna kulit, agama atau status yang lain. Hak asasi manusia terdiri daripada hak yang paling asas seperti hak untuk kehidupan sehinggalah kepada hak yang menjadikan kehidupan ini berbaloi untuk dilalui seperti hak terhadap makanan, pendidikan, pekerjaan, kesihatan dan kebebasan.  

Perisytiharan Hak Asasi Manusia (UDHR), diterima pakai oleh Majlis Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada tahun 1948 menjadi dokumen perundangan pertama yang menggariskan hak asasi manusia sebagai perkara yang dilindungi secara sejagat. UDHR yang mencapai usia 76 tahun pada tahun 2023 terus menjadi dasar kepada semua undang-undang hak asasi manusia antarabangsa. Ia mengadungi sebanyak 30 artikel yang menyediakan prinsip dan tapak bagi konvensyen, triti, dan instrumen perundangan hak asasi manusia yang terkini serta masa hadapan. UDHR bersama dengan dua lagi perjanjian iaitu Perjanjian Antarabangsa untuk Hak Sivil dan Politik serta Perjanjian Antarabangsa untuk Hak Ekonomi, Sosial dan Kebudayaan membentuk Rang Undang-Undang Hak Antarabangsa.

Sejagat dan Tidak Terasing

Prinsip kesejagatan hak asasi manusia menjadi landasan kepada undang-undang hak asasi manusia antarabangsa. Hal ini bermaksud bahawa kita semua sama-sama berhak kepada hak asasi manusia kita. Prinsip ini seperti pertama kalinya ditekankan dalam UDHR diulangi dalam banyak konvensyen, perisytiharan dan resolusi antarabangsa.

Hak asasi manusia juga adalah tidak terasing. Ia tidak boleh dirampas, kecuali dalam situasi tertentu dan mengikut kepada proses tertentu. Sebagai contoh, hak kepada kebebasan boleh dihadkan jika seseorang itu didapati bersalah melakukan jenayah oleh mahkamah undang-undang.

Tidak Dibahagikan dan Saling Berkait

Semua hak asasi manusia adalah tidak boleh dibahagikan dan saling bergantung. Hal ini bermaksud bahawa satu set hak tidak dapat dinikmati sepenuhnya tanpa yang lain. Sebagai contoh, kemajuan dalam hak sivil dan politik memudahkan pelaksanaan hak ekonomi, sosial dan budaya. Begitu juga, pelanggaran terhadap hak ekonomi, sosial dan budaya boleh memberi kesan negatif kepada banyak hak lain.

Sama Rata dan Tanpa Diskriminasi

Perkara 1 dalam Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR) menyatakan, "Semua manusia dilahirkan bebas dan sama dari segi maruah dan hak." Kebebasan daripada diskriminasi, seperti yang digariskan dalam Perkara 2 menjadi asas yang menjamin kesamarataan ini. 

Prinsip tidak mendiskriminasi merentasi semua undang-undang hak asasi manusia antarabangsa. Prinsip ini hadir dalam semua perjanjian utama hak asasi manusia. Ia juga menjadi tema utama bagi dua instrumen teras iaitu Konvensyen Antarabangsa mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum dan Konvensyen mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi terhadap Wanita.

Hak dan Kewajipan

Semua negara telah meratifikasikan sekurang-kurangnya satu daripada sembilan perjanjian teras hak asasi manusia serta satu daripada sembilan protokol pilihan. Sebanyak 80% negara telah meratifikasi empat atau lebih. Hal ini bermaksud bahawa negara mempunyai kewajipan dan tanggungjawab di bawah undang-undang antarabangsa untuk menghormati, melindungi dan memenuhi hak asasi manusia.

  • Kewajipan untuk menghormati bermaksud negara mesti menahan diri daripada mengganggu atau mengehadkan nikmat hak asasi manusia.
  • Kewajipan untuk melindungi menuntut negara melindungi individu dan kumpulan daripada pelanggaran hak asasi manusia.
  • Kewajipan untuk memenuhi bermaksud negara mesti mengambil tindakan positif untuk memudahkan nikmat hak asasi manusia yang asas. 

Sementara itu, sebagai individu, walaupun kita berhak ke atas hak asasi manusia kita namun kita juga harus menghormati dan mempertahankan hak asasi manusia orang lain.

Rujukan dalam bahasa Inggeris boleh dibuat di halaman berjudul, "What are human rights?" terbitan United Nations Office of the High Commissioner of Human Rights atau Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Hak Asasi Manusia.