Isnin, 14 Mei 2018

Pelanggaran Hak Asasi Manusia


Aku sering kebingungan hendak menjawab mengenai definisi pelanggaran hak asasi manusia ini. Aku diberitahu oleh mereka yang memberikan latihan asas hak asasi manusia bahawa hak asasi manusia itu adalah seperti yang didefinisikan oleh Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OHCHR). Namun, aku mendapati bahawa definisi yang diberikan oleh mereka itu sebenarnya tidak membantu langsung untuk memberikan kefahaman mengenai apakah situasi yang melibatkan pelanggaran hak asasi manusia kepada rakyat Malaysia yang rata-ratanya bercakap atau komplen saja pandai tapi benda-benda yang asas pun mereka tidak jelas.

Pelanggaran Hak Asasi Manusia

Menurut yang aku fahami hasil dari godekan enjin carian google, disebutkan bahawa negara adalah pelindung utama kepada hak asasi manusia rakyat. Negara berkuasa untuk mengambil tindakan yang perlu bagi melindungi hak asasi manusia rakyatnya. Oleh itu, negara bertanggungjawab jika berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini ke atas rakyatnya.

Situasi yang membawa kepada pelanggaran hak asasi manusia boleh timbul dalam kes-kes seperti berikut:
  • Pencabulan hak asasi manusia oleh negara - pelanggaran hak asasi manusia boleh dilakukan oleh mereka yang berkhidmat untuk negara. Sikap dan tindak-tanduk mereka dianggap sebagai sikap dan tindak-tanduk negara. Agen-agen negara ini boleh jadi adalah pejawat awam atau kakitangan kerajaan tempatan, anggota polis, pendakwaraya, hakim dan sebagainya. Contohnya, hak kita untuk perbicaraan yang adil telah dilanggar oleh hakim yang tidak membenarkan kita untuk memberikan hujah di Mahkamah dalam situasi yang memang dibenarkan oleh undang-undang. Dalam situasi ini, negara telah terang-terang melanggar hak asasi manusia kita kerana Mahkamah (dan juga hakim) adalah merupakan sebahagian daripada sistem negara. 
  • Kegagalan negara untuk melindungi hak asasi manusia - hal ini adalah keadaan negara yang tidak melindungi hak asasi manusia rakyat apabila ia mempunyai kewajipan untuk berbuat demikian. Dalam kes ini, masalah mungkin timbul antara kita dengan seorang lagi individu dan negara sepatutnya tampil untuk melindungi kita, sebaliknya ia tidak mengendahkan keadaan kita itu. Sebagai contoh, jika kita diserang di jalanan. Negara bertanggungjawab untuk menyiasat jenayah ini dan menghukum mereka yang bertanggungjawab. Agen negara yang menjalankan kewajipan ini adalah pihak polis dan pihak pendakwaraya. Walau bagaimanapun, penting sekali untuk membuat perbezaan mengenai tindakan penyerang tersebut. Tindakan penyerang tersebut dikategorikan sebagai tindakan melanggar undang-undang negara dan satu jenayah. Ia bukan dikategorikan sebagai tindakan yang melanggar hak asasi manusia. Jika pihak polis tidak menjalankan siasatan dengan baik terhadap tindakan jenayah tersebut dan kita ditinggalkan terkontang-kanting begitu sahaja, maka hal ini barulah dikategorikan sebagai pelanggaran hak asasi manusia.
Penting juga untuk diingati bahawa sebarang perubahan negatif atau insiden yang melibatkan salah seorang ahli masyarakat tidak semestinya membawa kepada situasi yang menghasilkan pencabulan hak asasi manusia. Negara tidak diwajibkan untuk masuk campur dalam setiap situasi dalam kehidupan ahli masyarakat. Sebagai contoh, kita mungkin tersinggung atau sakit hati dengan sikap kurang ajar jiran kita. Kita mungkin tidak puas hati apabila jiran kita membuat pencemaran bunyi atau bunyi bising. Apabila kita menegur mereka, mereka hanya buat bodoh saja. Negara biasanya tidak masuk campur dalam situasi sebegini dan hal ini tidak membawa kepada sebarang pelanggaran hak asasi manusia.

Rujukan
  • What is a human rights violation, human rights guide (online)
  • ESCR Training Course, Human Rights Library (online)
  • Human Rights Case Studies EHRC (online)
Source Pic: Drafting of Human Rights Act 1998 (Remedial) Order 2018 should be Considered, Joint Select Committee of the UK Paliament, 21 November 2018 (online