Konsep ras dan etnik di Malaysia didapati kerap kali bercampur aduk sehinggakan maknanya menjadi hampir sama. Jadi, orang Melayu, Cina dan India serta pelbagai etnik lain yang sepatutnya dikenali sebagai etnik turut dipanggil sebagai ras dalam kehidupan seharian. Dalam bahasa Melayu, ras ini diterjemahkan kepada bangsa yang merupakan kata serapan dari bahasa Sanskrit atau kaum yang diserap dari bahasa Arab.
Umumnya, ras boleh dikatakan sebagai satu kelompok sosial yang mempunyai tanda pengenalan sama seperti warna kulit, warna mata, warna rambut dan sebagainya. Lazim ciri seperti warna kulit digunakan untuk membezakan satu ras antara satu ras yang lain seperti orang Cina berkulit kuning dibezakan dengan orang India yang berkulit gelap.