Pengenalan kepada Politik

Apakah itu politik? Politik ialah aktiviti atau kegiatan mengurus hal ehwal dalam sesebuah masyarakat yang tersusun. Politik biasanya berkait dnegan penyelesaian isu dalam masyarakat melalui perantaraan kerajaan. Ahli politik ialah individu yang terlibat dalam aktiviti politik. Bidang sains sosial yang mengkaji politik dan kerajaan dikenali juga sebagai sains politik.

Pelbagai kaedah digunakan dalam politik termasuklah mempromosikan pandangan politik seseorang dalam kalangan masyarakat, berunding dengan pihak politik lain, menggubal undang-undang serta menggunakan kekerasan dalaman dan luaran termasuklah peperangan menentang pihak lawan. Politik diamalkan pada pelbagai peringkat sosial, bermula daripada puak dan suku kaum dalam masyarakat tradisional, merangkumi kerajaan tempatan moden, syarikat dan institusi sehinggalah ke peringkat negara berdaulat dan peringkat antarabangsa.   

Di negara moden, orang ramai sering menubuhkan parti politik untuk mewakili idea mereka. Ahli sesebuah parti biasanya bersetuju untuk mengambil pendirian yang sama terhadap pelbagai isu serta menyokong perubahan undang-undang dan pemimpin yang sama. Pilihan raya biasanya merupakan satu persaingan antara parti-parti yang berbeza.

Sistem politik ialah rangka kerja yang menentukan kaedah politik yang boleh diterima dalam sesebuah masyarakat. Sejarah pemikiran politik boleh dikesan sejak zaman purba lagi melalui karya-karya penting seperti Republic oleh Plato, Politics karya Aristotle, manuskrip politik Confucius dan Arthasastra karangan Chanakya.

Politik boleh digunakan secara positif dalam konteks "penyelesaian politik" yang bersifat kompromi dan tanpa kekerasan atau secara deskriptif sebagai "seni atau sains pemerintahan", namun perkataan ini sering juga membawa konotasi yang negatif. Ringkasannya boleh juga dibaca dalam "Ringkasan Pengenalan mengenai Politik".