Masalah perkauman ini selalunya membelenggu beberapa negara yang pernah menjadi jajahan atau naungan kepada Empayar British contohnya seperti Australia, India, Malaysia dan Singapura. Kalau dalam arkib audio visual Youtube, kita boleh saja membuat carian rambang dan melihat dengan mata kita sendiri insiden perkauman yang berlaku dalam kehidupan harian di negara-negara ini.
Bagi kes di Malaysia, ia adalah sebuah persekutuan yang terdiri daripada Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak. Daripada tiga entiti dalam Persekutuan Malaysia ini, Tanah Melayu sering kali dipandang dengan sambil lewa sedangkan ia sebenarnya ialah sebuah rantau yang mempunyai banyak pentadbiran atau kerajaan negeri yang sudah lama wujud sebelum kemasukan British ke Semenanjung Tanah Melayu. Negeri-negeri ini wujud hingga hari ini. Masalah ini sangatlah menyakitkan hatiku sendiri kerana aku memandang diriku sebagai rakyat di negeri kelahiranku dahulu sebelum aku menganggap diriku sebagai warganegara Malaysia namun aku turut terheret dalam masalah perkauman yang berlaku di negeri orang lain apabila aku berhijrah ke Lembah Klang!
Dalam bahasa Inggeris, kita sering bertemu dengan frasa, "playing the race card" yang bermaksud bermain dengan kad perkauman. Frasa ini adalah satu simpulan bahasa dalam bahasa Inggeris yang merujuk kepada perbuatan eksploitasi sama ada sikap perkauman atau sikap anti perkauman dengan menuduh orang lain sebagai perkauman.
Rujukan lanjut boleh dibaca melalui "Playing the Race Card" oleh Phil Gasper dalam International Socialist Review; The Race Card is as Bad as Racism oleh News 24; dan "Class, Race and Colonialism in West Malaysia" oleh M. Stenson. Sekian, terima kasih.