Situasi Hak Asasi Manusia Malaysia

Aku mendapati bahawa kurang sekali laman-laman sesawang atau bahan bacaan tinggi mengenai bidang hak asasi manusia dalam bahasa Melayu. Selain daripada itu, pengetahuan penutur-penutur bahasa Melayu terhadap politik pentadbiran sangatlah menyedihkan. Jadi, aku mengambil keputusan untuk berbuat sesuatu yang sekurang-kurangnya membantu aku memahami situasi di sekeliling aku ini.

Pandangan-pandangan yang ada di sini bukan semuanya berasal dari aku sebaliknya dipetik juga dari sumber-sumber yang lain. Aku tidak berminat untuk memburukkan nama negara aku mahupun merosakkan imej pihak berkuasa di negara aku kerana aku memahami bahawa sesuatu tindakan itu mestilah mempunyai justifikasi yang tertentu. Pertamanya, aku bekerja adalah untuk memahami keadaan yang sebenar di negara aku. Aku ingin belajar menerima hakikat mengenai kewujudan negara aku sendiri.

Seperti biasa, wadah untuk kita memahami sesuatu perkara itu dengan segera adalah dengan menggunakan wikipedia iaitu ensiklopedia atas talian yang boleh disunting oleh sesiapa sahaja. Namun, ia bukanlah satu cara yang benar-benar akademik. Walau bagaimanapun, ia masih lagi boleh membantu kita untuk memperolehi kefahaman dengan pantas.

Antara isu-isu yang aku dapat gariskan dari pembacaan ringkas sebelum pilihanraya yang berlangsung pada April 2018 adalah seperti berikut:
  • Banyak dakwaan mengenai pelanggaran hak asasi manusia dilemparkan kepada kerajaan dan pihak berkuasa;
  • Pandangan yang kritikal dari masyarakat sivil dan negara-negara asing terhadap kerajaan dan pihak berkuasa pada ketika itu; dan
  • Penguatkuasaan undang-undang pencegahan yang didakwa mengehadkan hak asasi manusia seperti Akta Keselamatan Dalam Negara (ISA) dan Ordinan Darurat 1969 (Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Awam yang membenarkan penahanan dibuat tanpa sebarang pendakwaan di Mahkamah.
Seingat aku sekitar tahun 2008 atau 2009 semasa aku berada dalam kelas bahasa Inggeris untuk persediaan bekerja semasa belajar peringkat ijazah sarjana muda di Universiti Sains Malaysia kampus Penang, guru bahasa Inggeris bernama Catherina ada juga bising-bising menyokong kempen pemansuhan ISA. Ketika itu, aku tidak begitu memahami situasi di negara ini melainkan mempunyai sedikit pengetahuan hasil dari pembacaan akhbar-akhbar arus perdana yang sering dibawa pulang oleh bapa aku semasa beliau masih bekerja ketika itu.