Tiada Pemisahan dan Pengkategorian Hak

Pengaktegorian yang paling biasa sekali dalam hak asasi manusia adalah dengan membahagikannya kepada hak sivil dan politik serta hak ekonomi, sosial dan kebudayaan.

Hak sivil dan politik tersemat dalam Artikel 3 sehingga Artikel 21, Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR) dan juga dalam Kovenan Antarabangsa mengenai Hak Sivil dan Politik (ICCPR). Selain itu, hak ekonomi, sosial dan kebudayaan pula disebut dalam Artikel 22 sehingga Artikel 28 UDHR dan Kovenan Antarabangsa mengenai Hak Ekonomi, Sosial dan Kebudayaan (ICESR). UDHR memasukkan sekali hak ekonomi, sosial dan kebudayaan serta hak sivil dan politik kerana ia didasarkan kepada prinsip bahawa hak yang berbeza itu hanya boleh wujud dengan jayanya dalam bentuk gabungan.
"Puncak kesempurnaan bagi seseorang manusia itu menikmati kebebasan sivil dan politik serta kebebasan dari ketakutan serta kehendak hanya boleh dicapai sekiranya syarat-syarat yang menuju ke arahnya itu dicapai yang mana setiap orang itu boleh menikmati hak sivil dan politik serta hak sosial, ekonomi dan kebudayaannya." - ICCPR & ICESR, 1966
Hal ini dilihat sebagai benar kerana tanpa hak sivil dan politik, seseorang itu tidak dapat menuntut hak ekonomi, sosial dan kebudayaannya. Sama juga perihalnya jika tanpa mata pencarian dan masyarakat yang bekerja, maka seseorang itu tidak dapat menuntut atau menggunakan hak sivil dan politiknya. Hal ini disebut sebagai full belly thesis atau tesis perut yang kenyang.

Walaupun sesebuah negara itu diterima sebagai penyokong kepada UDHR, namun ia tidak secara amalinya mengamalkan pemberian hak yang sama beratnya kepada pelbagai jenis hak. Walau bagaimanapun, kebudayaan Barat selalunya memberi keutamaan kepada hak sivil dan politik walaupun ia kadang kala menjejaskan hak ekonomi dan sosial seperti hak bekerja, hak pendidikan, hak kesihatan dan hak kepada perumahan individu. Sebagai contoh, tiada akses penjagaan kesihatan percuma yang sejagat di Amerika Syarikat (AS) pada saat ia diperlukan oleh orang awam. Hal ini bukanlah menunjukkan bahawa kebudayaan Barat itu mengabaikan hak ini sepenuhnya kerana negara kebajikan di Eropah Barat misalnya turut menjadi bukti bahawa perhatian diberikan juga kepada perkara ini di Barat. Begitu juga dengan negara blok Soviet (USSR) dan negara Asia yang cenderung dalam memberikan keutamaan kepada hak ekonomi, sosial dan kebudayaan namun gagal pula memberikan hak sivil dan politik kepada orang awam.

Pengkategorian hak asasi manusia yang lain pula dibentangkan oleh Karel Vasak di mana beliau mengetengahkan mengenai hak asasi manusia tiga generasi atau keturunan:
  • Hak Generasi Pertama Hak Sivil dan Politik iaitu hak kepada kehidupan dan penyertaan dalam politik;
  • Hak Generasi Kedua Hak Ekonomi, Sosial dan Kebudayaan iaitu hak kepada saraan hidup; dan
  • Hak Generasi Ketiga Hak Perpaduan iaitu hak kepada keamanan dan persekitaran yang bersih. 
Hak generasi ketiga adalah hak yang paling banyak sekali diperdebatkan dalam ketiga-tiga hak yang disebutkan di atas. Slain itu, ia juga kurang diberikan pengiktirafan dari segi perundangan dan politik.  Selanjutnya, pengkategorian ini didapati bercanggah dengan konsep tiada pemisahan hak kerana ia menyatakan secara tersirat bahawa sesetengah hak itu boleh wujud tanpa kewujudan hak yang lain.

Walau bagaimanapun, penonjolan kepada keutamaan hak untuk sebab-sebab yang pragmatik itu diterima sebagai satu keperluan secara meluas. Philip Alston, seorang pakar hak asasi manusia membahaskan bahawa, "Jika setiap elemen hak asasi manusia yang mungkin itu dilihat sebagai penting dan perlu maka tiada sesuatu pun yang akan dilihat seolah-olah ia adalah benar-benar penting". Beliau dan lain-lain seterusnya menyeru supaya perhatian diberikan kepada hak-hak utama, "... seruan untuk mengutamakan bukanlah mencadangkan bahawa sebarang pelanggaran hak yang jelas itu boleh diabaikan." Olivia Ball dan Paul Gready (2007 dalam The No-Nonsense Guide to Human Rights menyatakan bahawa keutamaan yang diberikan di mana-mana perlu itu, haruslah berpaksikan kepada konsep utama seperti cubaan munasabah merealisasikan hak secara progresif dan prinsip seperti tiada diskriminasi, kesaksamaan serta penyertaan.

Selain itu, sesetengah hak asasi manusia itu dikatakan "tidak boleh dipisahkan". Istilah "hak yang tidak boleh dipisahkan" ini merujuk kepada "satu kelompok hak asasi manusia yang asas, tidak dikurniakan dengan kuasa manusia dan tidak boleh diserahkan". Kepatuhan kepada prinsip tidak terbahagi oleh masyarakat antarabangsa ini ditegaskan semula pada tahun 1995 dalam Vienna Declaration and Program of Action, World Conference on Human Rights berbunyi, "Semua hak asasi manusia itu adalah sejagat, tidak terpisah dan saling bergantungan serta berkaitan. Masyarakat antarabangsa harus menanggapi hak asasi manusia secara adil dan saksama di peringkat global, atas dasar yang sama dan dengan penekanan yang sama". Kenyataan ini disokong sekali lagi pada 2005 World Summit di New York (perenggan 121).