Gambaran Keseluruhan - Penjelasan mengenai Pemakaian Sistem Federalis

Istilah 'federalisme' atau 'confederalisme' ini adalah terbitan dari perkataan bahasa Latin iaitu foedus yang bermaksud 'perjanjian, pakatan atau persetujuan antara dua pihak atau lebih'. Maksud biasa bagi perkataan ini sehingga ke lewat abad ke-18 hanyalah merujuk kepada satu liga yang ringkas atau hubungan antarakerajaan (inter-governmental) dalam kalangan negara-negara berdaulat berdasarkan kepada satu perjanjian. Kedua-dua perkataan federalisme dan confederalisme masing-masing pada awalnya adalah bersinonim.

Dalam pengertian inilah James Madison dalam Federalist 39 merujuk kepada Perlembagaan AS yang baru sebagai, 'bukan Perlembagaan Persekutuan mahupun Perlembagaan Kebangsaan, namun mengandungi kedua-duanya' yang bermaksud AS itu bukan satu negara yang bersatu pada asasnya atau satu liga dalam kalangan negeri-negeri yang kecil sebaliknya adalah kacukan antara kedua-dua sistem yang tersebut itu.

Menjelang abad ke-19, maksud federalisme ini mula berubah. Federalisme kemudian diperkuatkan lagi untuk merujuk hanya kepada satu bentuk campuran sistem politik yang direka atau dibentuk, sedangkan confederalisme masih lagi merujuk kepada satu liga antara negara-negara. Oleh itu, rencana ini merujuk kepada 'federalisme' dengan maksudnya yang digunakan dalam konteks moden.

Federalisme moden ini adalah satu sistem yang berasaskan kepada peraturan demokratik dan institusi-institusi yang kuasa pentadbirannya itu dikongsi antara kerajaan persekutuan dengan kerajaan negeri atau kerajaan wilayah. Istilah federalis pula menjelaskan mengenai beberapa kepercayaan politik di seluruh dunia bergantung kepada konteks.

Federalisme ini kadang-kala dipandang mengikut konteks rundingan antarabangsa sebagai, "sistem terbaik bagi mengintegrasikan pelbagai jenis bangsa berbeza, kumpulan etnik atau pihak-pihak yang bertelagah, yang kesemuanya bimbang akan dikuasai oleh satu pusat kuasa yang tidak terbatas".

Walau bagaimanapun, mereka di sesetengah negara yang ragu-ragu dengan cadangan-cadangan di bawah kerangka federalisme ini percaya bahawa pertambahan autonomi rantau pada akhirnya akan menyebabkan perpecahan atau peleburan negara-bangsa yang dibina mereka. Di Syria sebagai contoh, cadangan-cadangan federalisasi ini gagal disebabkan, "Orang Syria bimbang yang sempadan-sempadan ini akan berubah menjadi seperti yang diingini oleh pihak-pihak yang sedang memecahkannya".

Sistem Federalis seperti di Yugoslavia atau Czechoslovakia runtuh sebaik sahaja model ini diuji dan dibawa ke dalam eksperimen sejarah.

Penjelasan mengenai Pemakaian Sistem Federalis

Menurut Daniel Ziblatt dalam Structuring the State, terdapat empat penjelasan teori yang saling bertelagah dalam sastera akademik bagi pemakaian sistem federalis:
  • Teori Ideasional iaitu teori yang berpandangan bahawa komitmen ideologi pada tahap yang besar mengalahkan idea-idea desentralisasi dalam masyarakat membuatkan sistem federalis ini berkemungkinan diterimapakai.
  • Teori Sejarah-Kebudayaan iaitu teori yang berpandangan bahawa institusi federal nampak berkemungkinan besar diterimapakai oleh masyarakat yang berkebudayaan berbeza dan bersuku kaum yang berbeza.
  • Teori Kontrak Sosial iaitu teori yang berpandangan bahawa federalisme ini boleh jadi muncul sebagai satu tawar-menawar antara pusat dengan pinggiran yang mana pusat itu tidak cukup berkuasa untuk menguasai pinggiran dan pinggiran pula tidak cukup berkuasa untuk keluar dari pusat.
  • Teori Infrastruktur iaitu teori yang berpandangan bahawa federalisme ini boleh jadi muncul apabila satu unit kecil dari federasi yang berpotensi itu telah mempunyai infrastuktur yang maju untuk menjalankan pentadbiran contohnya ia telah mempunyai negeri-negeri yang moden pentadbirannya, sistem parlimen dan perlembagaan yang lengkap.