Nilai-Nilai Politik

Terdapat beberapa kanta politik yang diperkenalkan dalam disiplin pengajian politik namun yang terkenal adalah dua yang berikut. Kanta politik ini merujuk kepada haluan-haluan politik yang berdiri di atas satu atau lebih satah geometri, mewakili dimensi-dimensi politik yang bebas.

Haluan Kiri-Kanan

Pengalisis politik dan ahli-ahli politik membahagikan politik kepada haluan kiri dan haluan kanan. Selalunya mereka menggunakan idea politik tengah sebagai jalan pertengahan untuk dasar antara haluan kanan dan haluan kiri.

Klasifikasi ini sebenarnya masih baru lagi. Ia tidak pernah digunakan oleh Aristotle atau Hobbes. Ia muncul pada zaman Revolusi Perancis apabila ahli-ahli Himpunan Negara menyokong idea sebuah republik iaitu masyarakat sekular dan orang awam yang sama-sama menjadi warganegara berada di sebelah kiri manakala penyokong-penyokong monarki, kelompok aristokrat dan Gereja berada di sebelah kanan.

Maksud di sebalik label-label kemudian menjadi lebih rumit menjelang bertahun-tahun ia digunapakai. Satu kejadian yang agak besar kesannya kepada dunia politik adalah penerbitan Manifesto Komunis oleh Karl Marx dan Friedrich Engels pada 1848. Manifesto ini mencadangkan satu siri tindakan untuk revolusi proletarian bagi menjatuhkan masyarakat bourgeois serta menghapuskan harta peribadi dengan kepercayaan bahawa hal ini akan mewujudkan masyarakat yang tiada sebarang kasta atau tidak bernegara.

Maksud haluan kiri dan haluan kanan juga boleh jadi berbeza mengikut negara dan zaman. Namun, secara umum bolehlah dikatakan bahawa haluan kanan ini selalunya memberikan penghargaan kepada tradisi dan ketidaksaksamaan manakala haluan kiri pula memberikan penghargaan kepada kemajuan dan kesaksamaan. Titik pertengahan kepada kedua-dua haluan ini adalah mencari keseimbangan antara kedua-dua haluan dengan melalui demokrasi sosial, prinsip-prinsip kebebasan dan kapitalisme terkawal.

Menurut Norberto Bobbio, salah satu penyokong tegar kepada perbezaan ini adalah kerana mereka yang berhaluan kiri percaya bahawa mereka harus menghapuskan ketidaksaksamaan sosial kerana ia adalah tidak beretika serta tidak semulajadi sedangkan mereka yang berhaluan kanan pula menganggap bahawa ketidaksaksamaan sosial itu berlaku kesan daripada ketidaksaksamaan semulajadi yang tidak dapat dihapuskan. Mereka yang berhaluan kanan percaya bahawa tindakan-tindakan untuk memaksa kesaksamaan sosial itu sebagai satu utopia dan tindakan kuku besi.

Sesetengah ideologi, khususnya Demokrasi Kristian, mendakwa bahawa mereka menggabungkan haluan politik kanan dan haluan politik kiri. Menurut Geofferey K. Roberts dan Patricia Hogwood, "Dari segi ideologi, Demokrasi Kristian telah menggabungkan banyak pandangan yang dipegang oleh kelompok liberal, konservatif dan sosialis dalam kerangka kerja prinsip serta moral ajaran Kristian". Gerakan-gerakan yang mendakwa atau pernah mendakwa bahawa mereka dari belahan haluan kiri-kanan itu termasuklah ekonomi politik Fascist Terza Posizione di Itali, Peronisme di Argentina dan National Action Party di Mexico.