Politik dan Pentadbiran Malaysia

Malaysia mengamalkan sistem Parlimen dwidewan iaitu Dewan Rakyat atau House of Representatives dan Dewan Negara atau Senate.

A. Dewan Negara

Dewan Negara mengandungi 70 orang yang terpilih selama tiga tahun. Pemilihan ahlinya dibahagian kepada dua iaitu seramai 26 orang ahli dipilih oleh Dewan Undangan Negeri sebagai mewakili 13 negeri. Seramai 44 orang ahli lagi dilantik oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri, termasuk dua orang ahli dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan seorang masing-masing di Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Wilayah Persekutuan Labuan.

B. Dewan Rakyat

Dewan Rakyat mengandungi seramai 222 orang ahli dan setiap orang ahli mewakili satu kawasan pilihan raya. Ahli-ahli dipilih atas dasar sokongan ramai melalui pilihan raya. Setiap ahli Dewan Rakyat memegang jawatan selama lima tahun dan selepas itu pilihan raya yang baru akan diadakan.

C. Perundangan Malaysia

Kuasa perundangan dibahagikan di antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri. Hal ini ditentukan oleh Parlimen. Undang-undang tertinggi di Malaysia adalah Perlembagaan Persekutuan Malaysia dan ia memerlukan majoriti dua pertiga untuk diubah. Walau bagaimanapun, peratusan ahli pihak pemerintah sentiasa melebihi nisbah ini.

Undang-undang kedua ialah undang-undang Syariah yang hanya ditumpukan kepada Muslim di Malaysia. Sultan menjadi ketua agama Islam dan kuasa ini tertakluk kepada baginda di peringkat kerajaan negeri. Oleh itu, undang-undang Syariah ini berbeza-beza mengikut negeri di Malaysia.

Sistem perundangan Malaysia adalah berasaskan kepada undang-undang British. Walau bagaimanapun, kebanyakan daripada undang-undang dan hal dalam Perlembagaan diambil dari undang-undang India. Mahkamah Persekutuan mengkaji kembali keputusan yang dirujuk dari Mahkamah Rayuan. Mahkamah Persekutuan mempunyai kuasa perundangan asal dalam hal-hal Perlembagaan dan dalam perselisihan antara sesuatu negeri dengan sesuatu negeri atau antara sesuatu negeri dengan Persekutuan. Semenanjung Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak masing-masing mempunyai Mahkamah Tinggi sendiri.

D. Pembahagian Kuasa Persekutuan dan Negeri

Kerajaan Persekutuan berkuasa terhadap hal-ehwal luar negara, pertahanan, keselamatan dalam negeri, keadilan kecuali undang-undang sivil dalam kalangan orang Melayu, Muslim dan Orang Asli yang berada di bawah undang-undang Syariah atau undang-undang adat istiadat. Selain itu, Kerajaan Persekutuan berkuasa juga dalam hal-ehwal kewarganegaraan Persekutuan, kewangan, perdagangan, industri, komunikasi, pengangkutan dan lain-lain.