Pengenalan tentang Politik di Malaysia

Ahli teori politik yang menyusun struktur institusi demokrasi bagi mengurangkan ancaman daripada perpecahan etnik memberikan amaran bahawa keanehan tersebut menghalang kejayaan mereka. Donald Horowitz menyebut dalam "Democracy in Divided Societies" daripada Journal of Democracy Bil. 4 (1993) bahawa, "Terdapat sebab sistemik yang baik, kenapa sukar sekali untuk menghasilkan institusi yang kondusif untuk menangani kemunculan demokrasi pelbagai kaum."

Walau bagaimanapun, sikap pesimis sebegini tidak disokong oleh bukti yang sah. Parti politik berasaskan bahasa, bangsa dan agama tetap saja berfungsi dalam sistem politik di Malaysia. Selain itu, jangkaan yang dibuat itu juga meleset kerana Malaysia berada dalam keadaan yang stabil dan berkembang pesat.

Dalam perbandingan antara rekod Malaysia dan Sri Lanka, Donald Horowitz menggariskan bahawa semasa proses pembebasan sesebuah negara itu daripada cengkaman kuasa penjajah, wujud jangkaan bahawa Sri Lanka akan aman sentosa manakala Malaysia pula akan menghadapi pertelingkahan yang berpanjangan. Namun, jangkaan ini didapati tidak tepat. Malaysia didapati bebas daripada persengketaan etnik. Satu-satunya pertelingkahan yang diingati oleh rakyat Malaysia pun berlaku pada 13 Mei 1969 yang merupakan hasil daripada perarakan "kejayaan" berikutan pilihan raya pada bulan Mei 1969. Demonstrasi yang bising dan menjolok sentimen perkauman itu mencetuskan rusuhan yang menyebabkan seramai 196 orang maut manakala 409 orang lagi tercedera. Kerajaan Malaysia bertindak balas terhadap keganasan tersebut dengan langkah berikut:
  • memperketat peruntukan bagi memelihara undang-undang dan keamanan;
  • memperkenal ideologi kebangsaan iaitu Rukun Negara;
  • memperkenal Dasar Ekonomi Baru (DEB); dan
  • menggantikan Perikatan tiga parti dengan gabungan Barisan Nasional yang lebih luas untuk mentadbir negara. 
Oleh itu, bahagian ini akan memerhatikan masyarakat, politik dan kedudukan Islam di Malaysia. Ia akan membincangkan mengenai ciri-ciri penting dalam masyarakat Malaysia yang berpecah, menganalisis ciri sistem politik Malaysia serta menyemak kedudukan Islam dalam kerajaan serta politik Malaysia.