Pengenalan tentang Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ditubuhkan selepas Perang Dunia II dengan tujuan untuk menghalang peperangan daripada berlaku lagi pada masa hadapan serta menggantikan Liga Bangsa yang didapati tidak memberikan impak positif kepada keamanan dunia.

Pada 25 April 1945, sebanyak 50 negara bangsa bermesyuarat di San Francisco, California dalam satu persidangan dan mula menderaf Piagam PBB yang diterima pakai pada 25 Jun 1945. Piagam tersebut mula berkuatkuasa pada 24 Oktober 2945 apabila PBB mula beroperasi. Objektif PBB seterusnya didefinisikan oleh piagamnya seperti berikut:

  • Mengekalkan keselamatan dan keamanan antarabangsa;
  • Melindungi hak asasi manusia;
  • Menyampaikan bantuan kemanusiaan;
  • Mempromosi pembangunan mapan; dan
  • Menjunjung undang-undang antarabangsa.
Pada awal penubuhannya, PBB hanya mempunyai sebanyak 51 negara anggota. Sehingga tahun 2023, PBB telah pun mempunyai sebanyak 193 negara anggota kerana kebanyakan negara ini dibentuk menjadi negara bebas selepas era penjajahan. 

Misi PBB dalam memeliharan keamanan dunia dalam dasawarsa awalnya agak rumit kerana ketegangan dari Perang Dingin masih lagi dirasai antara Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Soviet (KRSS) serta sekutu mereka. Misinya turut memasukkan syarat supaya tentera pemerhati tidak bersenjata dan tentera yang kurang persenjataannya dilantik bagi tugasan memantau, melapor dan memegang peranan membina keyakinan dalam kalangan negara anggota.

Keanggotaan PBB bertambah selaras dengan proses nyah penjajahan yang meluas dalam tahun 1960an. Sejak itu, sebanyak 80 negara bekas jajahan telah mencapai kemerdekaan termasuklah 11 rantau amanah yang dipantau oleh Majlis Amanah PBB. Menjelang tahun 1970an, bajet PBB untuk program pembangunan ekonomi dan sosial bertambah dengan mendadak melebihi bajet untuk memelihara keamanan. Selepas berakhirnya Perang Dingin pada tahun 1991, PBB telah mengubah dan memperkembang bidang operasinya dengan mengambil pelbagai jenis tugasan yang lebih rumit.

PBB mempunyai enam organisasi utama yang menjalankan operasi dalam pelbagai bidang iaitu:

  • Majlis Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu
  • Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu
  • Majlis Ekonomi dan Sosial
  • Mahkamah Keadilan Antarabangsa
  • Urus Setia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu
  • Majlis Amanah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu
Walau bagaimanapun, Majlis Amanah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu tidak lagi aktif menjelang tahun 1994. Sistem PBB itu termasuklah pelbagai agensi yang khusus, dana, dan program termasuklah Kumpulan Bank Dunia, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Program Makanan Sedunia, UNESCO dan UNICEF. Selain itu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) boleh juga diberikan status konsultatif dalam Majlis Ekonomi dan Sosial serta dalam agensi PBB yang lain.

Ketua Pegawai Pentadbir di PBB dikenali sebagai Setiausaha Agung. Jawatan itu kini dipegang oleh Antonio Guterres, seorang ahli politik dan diplomat dari Portugal yang memulakan penggal pertamanya selama lima (5) tahun pada 1 Januari 2017 dan kemudian dipilih semula pada 8 Jun 2021. Pertubuhan ini dibiayai oleh sumbangan yang dinilai secara sukarela oleh negara anggotanya sendiri.

PBB, pegawai dan agensinya juga telah memenangi Hadiah Nobel Keamanan walaupun penilaian lain mengenai keberkesanannya memberikan hasil yang bercampur-campur. Sesetengah pengulas percaya bahawa pertubuhan ini mempunyai kemampuan untuk membawa keamanan dan pembangunan kepada manusia manakala sesetengah pengulas lain pula menggelarkan pertubuhan ini sebagai tidak berkesan, condong berpihak atau bias dan korup.