Pengenalan Sains Politik

Sains politik adalah sains kemasyarakatan yang membincangkan mengenai sistem kerajaan, analisis kegiatan politik, pemikiran politik dan sikap politik. Ia turut membincangkan mengenai teori dan amalan politik secara panjang lebar. Teori dan amalan politik ini difikirkan sebagai kaedah untuk pembahagian kuasa dan sumber. 

Ahli sains politik, "melihat diri mereka terlibat dalam mendedahkan hubungan-hubungan yang tersirat dalam peristiwa dan keadaan yang membabitkan politik. Dari pendedahan-pendedahan tersebut, mereka cuba untuk membina prinsip-prinsip umum mengenai cara dunia politik bergerak."

Bidang sains politik mempunyai cabang-cabang kecil juga seperti:
  • perbandingan politik
  • ekonomi politik
  • hubungan antarabangsa
  • teori politik
  • pentadbiran awam
  • dasar awam
  • kaedah politik
Mendalam lagi, sains politik juga berkaitan dengan bidang-bidang lain seperti:
  • ekonomi
  • undang-undang
  • sosiologi
  • falsafah
  • geografi
  • psikologi
  • antropologi
Sebagai salah satu ilmu kemasyarakatn, bidang sains politik semasa mula dibentuk dalam separuh hujung abad ke-19 M iaitu apabila ia mula memisahkan dirinya dari falsafah politik yang berakar umbi dari karya-karya Aristotle, Plato dan Chanakya yang ditulis hampir 2,500 tahun lalu. 

Politik perbandingan pula adalah ilmu perbandingan dan mengajarkan pelbagai jenis perlembagaan, aktor politik, perundangan dan bidang-bidang yang berkaitan. Semuanya dari perspektif dalam negeri (intrastate). Hubungan antarabangsa membincangkan mengenai interaksi antara negara bangsa dengan organisasi-organisasi antara kerajaan dan rentas sempadan. Teori politik lebih memberi penekanan kepada sumbangan-sumbangan dari pemikir klasik dan semasa serta ahli falsafah. 

Sains politik mempunyai kaedah yang pelbagai dan menyesuaikan banyak jenis kaedah yang berasal dari kajian kemasyarakatan. Pendekatan-pendekatannya termasuklah positivisme, interpretivisme, teori pilihan rasional, behavioralisme, structuralisme, post-structuralisme, realisme, institutionalisme dan pluralisme. 

Sains politik sebagai salah satu daripada sains kemasyarakatan, menggunakan kaedah-kaedah dan teknik yang berhubung dengan jenis-jenis penyiasatan seperti:
  • sumber pertama, dokumen-dokumen sejarah dan rekod-rekod rasmi.
  • sumber kedua, artikel-artikel jurnal akademik, kajian tinjauan, analisis statistik, kajian kes, kajian eksperimen dan pembinaan model.