Psikologi adalah satu bidang pengajian saintifik mengenai minda dan sikap. Bidang pengajiannya termasuklah sikap manusia dan bukan manusia, fenomena sama ada yang sedar atau tidak sedar, dan proses mental seperti pemikiran, perasaan dan motif.
Psikologi ini adalah satu disiplin akademik dengan skop yang amat besar, merentasi sempadan antara sains semulajadi dan sains sosial. Ahli psikologi biologi biasanya cuba memahami perubahan yang berlaku kepada otak dan menghubungkannya dengan sains saraf. Manakala, ahli psikologi sosial pula menumpukan kepada memahami sikap individu dan kumpulan.
Pengamal profesional atau penyelidik yang terlibat dalam disiplin ini digelar sebagai ahli psikologi. Sesetengah ahli psikologi boleh juga dikelaskan sebagai saintis sikap atau saintis kognitif. Sesetengah ahli psikologi cuba untuk memahami peranan fungsi mental pada sikap individu dan sosial. Sedangkan yang lain pula menerokai proses fisiologi dan neurobiologi yang tersirat di sebalik sikap dan fungsi kognitif.
Ahli psikologi terlibat dalam penyelidikan persepsi, kognisi, perhatian, emosi, kebijaksanaan, pengalaman subjektif, motivasi, fungsi otak dan personaliti. Minat ahli psikologi juga berkembang kepada hubungan interpersonal, ketahanan psikologi, ketahanan keluarga dan bidang-bidang lain lagi seperti psikologi sosial. Mereka juga turut mempertimbang minda tanpa sedar. Ahli psikologi penyelidik menggunakan kaedah empirik dalam pemerhatian awal mengenai hubungan penyebab serta berkaitan antara pelbagai pemboleh ubah psikologi. Selain, itu sebahagian kecil ahli psikologi klinikal dan kaunseling juga bergantung kepada penafsiran simbolik.
Walaupun pengetahuan psikologi selalu diguna pakai dalam penilaian dan rawatan masalah kesihatan mental, namun ia juga dikhususkan untuk memahami dan menyelesaikan masalah dalam beberapa ruang lingkup aktiviti manusia. Dalam kebanyakan rekod, ahli psikologi mempunyai tujuan tertinggi iaitu memberikan manfaat kepada masyarakat. Maka, ramailah ahli psikologi yang terlibat dalam peranan yang berkaitan dengan terapi, mengamalkan psikoterapi dan kaunseling untuk persekitaran sekolah atau klinik.
Ahli psikologi menjalankan penyelidikan saintifik dalam banyak jenis topik yang melibatkan proses mental dan tabiat. Secara tipikalnya, ahli psikologi yang bergiat dalam penyelidikan tabiat akan bekerja dalam persekitaran akademik seperti di universiti, sekolah perubatan atau hospital. Sekumpulan ahli psikologi lain pula bekerja dalam pelbagai persekitaran industri dan organisasi. Manakala yang lain pula terlibat dalam kerja seperti pembangunan manusia, penjagaan, kesihatan, sains forensik, pendidikan dan juga media.