Memahami Konsep Hak Asasi Manusia

Buat masa ini, aku sebenarnya cuba untuk memahami konsep hak asasi manusia. Berdasarkan pemerhatian aku selepas pengalaman beberapa tahun berkecimpung dalam bidang ini, semua orang mempunyai hak asasi mereka sendiri namun aku mempunyai dua persoalan awal iaitu:

  • Hak bagaimanakah yang dibingkaikan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai hak asasi manusia?
  • Bagaimanakah konsep hak asasi manusia ini disesuaikan di negara ahli PBB contohnya seperti negara Malaysia?

Aku telah membuat pinjaman beberapa buah buku daripada perpustakaan mengenai hak asasi manusia namun aku masih tidak mempunyai masa dan angin yang baik untuk memulakan pembacaan serius berkenaan bidang ini. Sudah semestinya masa yang lama perlu diambil oleh seseorang untuk menghadamkan sesuatu konsep yang baru dikenali olehnya, bukan? Kecualilah jika seseorang itu benar-benar berbakat maka hal ini mungkinlah mudah bagi mereka. Bagi aku yang hanya insan kerdil dan biasa ini maka aku perlulah mengambil masa yang agak panjang juga bagi memahami apakah "hak asasi manusia" itu.

Selanjutnya, aku mengambil keputusan meminjam buku yang dikarang oleh Michael Freeman berjudul "Human Rights" dari perpustakaan di pejabat pada tahun 2016. Pada ketika itu, aku merasakan bahawa kakitangan di pejabat aku sebenarnya berbicara mengenai hal ini tanpa struktur yang berfokus. Mungkin hal ini berlaku kerana mereka tidak mempunyai "ingatan institusi" akibat kakitangan mereka yang sering bertukar-tukar atau berhenti.

Buku ini terbahagi kepada sembilan bab semuanya yang mana aku tidak sempat membacanya dengan sempurna pun disebabkan oleh kekangan waktu dan juga kegusaran yang berakar umbi daripada politik pejabat yang tidak stabil.

  • Bab 1 Pengenalan: Berfikir mengenai Hak Asasi Manusia
  • Bab 2 Asal-Usul: Naik dan Turunnya Hak-Hak Semulajadi
  • Bab 3 Selepas Tahun 1945: Era Baru Bagi Hak Asasi Manusia
  • Bab 4: Teori-Teori Hak Asasi Manusia
  • Bab 5 Peranan Sains Sosial
  • Bab 6 Kesejagatan, Kepelbagaian dan Perbezaan: Budaya dan Hak Asasi Manusia
  • Bab 7 Politik Hak Asasi Manusia
  • Bab 8 Globalisasi, Pembangunan dan Kemiskinan: Ekonomi dan Hak Asasi Manusia
  • Bab 9 Hak Asasi Manusia di Abad ke-21 

Buku yang aku pinjam itu adalah edisi kedua diterbitkan oleh Polity Press pada tahun 2011. Ia mengandungi sebanyak 235 muka surat bersekali dengan rujukan dan indeks. Gambar buku di atas diambil oleh aku sendiri pada 15 Mei 2018 pada jam 10.30 pm maka kreditnya adalah kepada aku sendiri, Happy Buffalo, pemilik blog ini.