Latarbelakang sebelum Tahun 1941

Dalam abad sebelum Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) diasaskan, beberapa pertubuhan antarabangsa seperti Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa telah pun dibentuk bagi memastikan perlindungan dan bantuan disampaikan kepada mangsa yang terjejas dalam konflik bersenjata dan persengketaan.

Semasa Perang Dunia I, beberapa orang pemimpin dunia terutamanya Woodrow Wilson, Presiden Amerika Syarikat, berkempen bagi penubuhan satu badan dunia untuk menjamin keamanan. Pemenang dalam peperangan, pihak Perikatan, telah mengadakan Persidangan Keamanan Paris dan bersetuju supaya satu persepakatan keamanan rasmi dimeterai di situ. Liga Bangsa telah diluluskan dan operasinya pun dimulakan namun Amerika Syarikat (AS) tidak pernah menyertai badan tersebut.

Pada 10 Januari 1920, Liga Bangsa kemudian dikenali secara rasmi sebagai Piagam Liga Bangsa yang diratifikasikan oleh 42 negara bangsa pada tahun 1919 dan berkuatkuasa pada tahun yang sama. Majlis Liga bertindak sebagai badan pelaksana yang mengaturkan segala urusan Majlis. Ia bermula dengan empat ahli tetapnya iaitu United Kingdom, Perancis, Itali dan Jepun.

Selepas kegagalan demi kegagalan pada tahun 1920an, Liga telah dibuktikan sebagai tidak berkesan pada tahun 1930an. Hal ini kerana ia gagal mencegah penaklukan Jepun di Manchuria pada tahun 1933. Sebanyak 40 buah negara mengundi supaya Jepun keluar dari Manchuria namun Jepun mengundi menentang semua undi tersebut dan bertindak keluar darii Liga berbanding dengan mengambil tindakan keluar dari Manchuria.

Selain daripada itu, Liga Bangsa juga gagal bertindak semasa Peperangan Itali-Ethiopia Kedua yang mana seruan sekatan ekonomi terhadap Itali juga gagal. Itali dan negara bangsa lain keluar terus dari Liga Bangsa. Apabila perang meletus sekali lagi pada tahun 1939, Liga Bangsa pun ditutup selama-lamanya.