Kontrak Sosial

Thomas Hobbes, ahli falsafah Inggeris mencadangkan bahawa kontrak sosial hipotesis wujud apabila sekumpulan individu bebas bersetuju, demi kelangsungan hidup untuk membentuk institusi yang mentadbir mereka. Mereka melepaskan kebebasan mutlak semulajadi sebagai pertukaran untuk perlindungan daripada Pemerintah. Hal ini membawa kepada teori John Locke bahawa kegagalan kerajaan untuk menjamin hak merupakan kegagalan yang membenarkan penyingkiran kerajaan dan pandangan ini turut diutarakan kemudian oleh Jean-Jacques Rousseau dalam karyanya, Du Contrat Social atau Kontrak Sosial.

Pakar ekuiti antarabangsa, Paul Finn, turut menggemakan pandangan ini:

"Hubungan fidusiari yang paling asas dalam masyarakat kita jelas sekali ialah hubungan antara komuniti (rakyat) dan negara, agensi serta pegawainya."

- Paul Finn

Hubungan antara kerajaan dan rakyat dalam negara-negara yang mengikuti tradisi undang-undang Inggeris adalah hubungan fidusiari. Dalam undang-undang ekuiti, kewajipan fidusiari seorang ahli politik bukan saja melibatkan tugas berintegriti dan kesetiaan. Tetapi juga termasuk kewajipan kemahiran dan kecekapan dalam menguruskan negara serta rakyatnya. Berasal daripada Mahkamah Ekuiti, konsep fidusirari wujud untuk menghalang mereka yang memegang kuasa daripada menyalahgunakan autoriti.

Hubungan fidusiari antara kerajaan dan rakyat timbul daripada keupayaan kerajaan untuk mengawal rakyat melalui pelaksanaan kuasanya. Secara asasnya, jika kerajaan mempunyai kuasa untuk menghapuskan sebarang hak, maka ia juga dipertanggungjawabkan dengan kewajipan fidusiari untuk melindungi kepentingan tersebut kerana ia menerima manfaat daripada pelaksanaan budi bicara sendiri untuk memadamkan hak yang hanya ia berkuasa untuk menghapuskan.