Perkataan etnik yang kita gunakan dalam Pengajian Sains Sosial di Malaysia berasal dari perkataan bahasa Inggeris ethnic atau ethnicity yang diserap ke dalam bahasa Melayu kerana bidang ini lebih maju di Barat. Perkataan dalam bahasa Melayu bagi merujuk hal yang sama adalah kaum. Hal ini merujuk kepada sekelompok manusia yang mengamalkan budaya yang hampir seragam dari segi adat resam, pakaian, bahasa dan kegiatan ekonomi. Sedangkan ras dan bangsa memberikan penekanan kepada perbezaan fizikal atau sifat biologi.
Sebagai contoh di Malaysia, pelbagai etnik hidup secara berlainan tetapi tetap berada di bawah satu sistem politik yang sama. Etnik dibezakan melalui perbezaan ciri budaya seperti adat resam, pola keluarga, orientasi politik, kegiatan ekonomi dan sebagainya. Di Malaysia khususnya, orang Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban, Melanau, dan banyak lagi dianggap sebagai etnik atau suku kaum. Di Sabah dan Sarawak, terdapat pula suku yang terbit dari kaum induknya. Hal ini disebut dalam istilah sosial sebagai sub etnik. Sub etnik ini berkongsi budaya dengan sub etnik lain di bawah kaum yang sama. Hal ini menunjukkan bahawa sub kebudayaan yang bernaung di bawah satu kebudayaan induk ini membentuk kesatuan dari segi nilai, tingkah laku, dan sikap bagi anggotanya.
Dalam pada itu, terdapat juga istilah etnosentrik yang mana seseorang itu menganggap bahawa ciri budayanya sebagai wajar, betul, utama mengatasi kebudayaan etnik lain sehingga budaya etnik lain dianggap sebagai rendah, ganjil atau tidak bermoral. Keadaan ini membawa kepada etnosentrisme iaitu kepercayaan atau rasa bangga yang wujud dalam kalangan anggota sesuatu etnik bahawa budaya atau suku kaum mereka itu jauh lebih baik dan hebat daripada kelompok suku kaum lain.