Motivasi agama yang sering berasaskan tuntutan kebenaran dalam kitab suci boleh mempengaruhi keputusan penting bagi penganut sesuatu agama tetapi mungkin dianggap arbitrari atau sesuka hati oleh golongan bukan penganut agama tersebut atau yang tidak terikat dengan sebarang agama. Walaupun mungkin ada tuntutan saintifik yang bercanggah, namun keabsahan kitab suci atau ajaran yang dianggap suci oleh sesuatu golongan itu akhirnya bergantung kepada keimanan dan tidak seharusnya dipaksakan kepada semua orang.
Walaupun iman dalam makna kata yang luas mungkin merujuk kepada fenomena sejagat kerana kita semua kadang kala beriman dengan sesuatu atau seseorang tanpa sebarang bukti, namun hal ini berbeza dengan iman dalam sistem kepercayaan yang mempunyai kerangka metafizik serta senarai panjang cadangan, peraturan dan larangan.
Amaran terhadap sifat arbitrari motivasi agama juga sering dikritik dengan hujah bahawa kerangka sekular dalam membuat keputusan turut bergantung kepada emosi dan bias yang tidak rasional dan tidak pernah sepenuhnya "saintifik". Keadaan ini benar tetapi terdapat cara untuk mengurangkan penyelewengan pemikiran dan hakikat bahawa semua pemikiran manusia tidak sempurna bukan alasan untuk bergantung kepada pandangan dunia berasaskan iman yang mempunyai bias dan ketidakselarian tersendiri.
Ada juga orang yang berpendapat bahawa keutamaan kepada keputusan "rasional" adalah perspektif Pencerahan yang lapuk, mungkin bersifat kebaratan dan berkelebihan khusus (privileged) serta terasing daripada pengalaman hidup masyarakat di bahagian dunia lain.
Sesungguhnya, di mana sistem kehidupan berasaskan agama tradisional meningkatkan kesejahteraan masyarakat maka ia wajar diiktiraf dan dihormati. Walau bagaimanapun, kita perlulah berhati-hati terhadap kemungkinan kesan negatif membuat dasar berasaskan sistem kepercayaan serta mempertimbangkan siapakah yang tersisih apabila ia dilaksanakan.