Mengapa kita perlu mengulang kembali perdebatan lama ini sekarang? Hakikatnya, nasionalisme agama semakin meningkat di seluruh dunia dan kecenderungan ini nampaknya merebak semakin pantas. Di negara sekular walaupun bahasa agama seperti "God Bless America" bukanlah sesuatu yang baru, namun peningkatan perspektif agama kelihatannya agak luar biasa.
Kadang kala perspektif ini lahir daripada kesalehan tulen. Namun, kadang kala ia adalah strategi politik untuk menarik sokongan blok pengundi tertentu. Di Eropah, parti sayap kanan anti-imigran telah lama menggunakan warisan "Yahudi-Kristian" yang bermasalah, retorik yang turut diambil oleh parti pemerintah. Di Hungary sebagai contoh, Viktor Orban menggunakan seruan Kristian untuk meminggirkan golongan minoriti. Di India pula, nasionalisme Hindu telah mengubah perdebatan politik secara besar-besaran. Manakala, di Amerika Syarikat, kabinet Donald Trump menampilkan nasionalisme Kristian dengan jelas dan nyata.
Sekularisme mungkin menjadi titik permulaan perdebatan dasar, tetapi ia menyediakan asas yang paling kukuh dan adil. Walaupun komuniti agama dalam konteks majoriti mungkin berpendapat bahawa aspek pandangan dunia mereka wajar menjadi norma masyarakat, penganut agama dalam konteks minoriti sangat menghargai sekularisme. Misalnya di Australia, bukti menunjukkan bahawa majoriti Muslim lebih memilih sekularisme walaupun sebahagian daripada mereka berpendapat bahawa undang-undang Syariah sesuai diamalkan di negara majoriti Muslim. Sekularisme adalah pendekatan terbaik untuk mengelakkan majorititarianisme dan menyingkirkan pespektif alternatif.
Ada yang berhujah bahawa perbahasan dasar awam harus lebih banyak disesuaikan dengan perspektif agama. Hal ini mungkin dianggap sebagai penawar kepada kelemahan duniawi seperti nepotisme, rasuah, atau kerakusan korporat. Namun, ia membawa kita kembali kepada mustahilnya pertimbangan antara hal yang suci dengan hal yang mencemarkan.
Jürgen Habermas, seorang ahli falsafah dan teori sosial Jerman pernah berbicara mengenai era pasca-sekular dan keperluan sistem sekular untuk disesuaikan dengan perspektif agama jika diterjemahkan ke dalam bahasa sekular. Namun, ia didapati bermasalah kerana ia boleh membawa kepada kekaburan dalam membuat keputusan. Tambahan pula, adalah naif untuk menganggap bahawa semua suara agama akan diberikan ruang dan didengari secara sama rata dalam senario keterbukaan yang lebih besar terhadap pandangan agama. Hakikatnya, kumpulan agama yang mempunyai sumber paling banyak, akses terbaik kepada pembuat dasar atau paling mahir dalam menterjemah pandangan mereka ke dalam bahasa sekular yang akan memegang pengaruh paling besar terhadap dasar.