Hukum Sejagat vs Kedaulatan Negara

Hukum sejagat merupakan satu prinsip yang penuh kontroversi dalam undang-undang antarabangsa di mana sesebuah negara itu menuntut bidang kuasa jenayah ke atas individu yang didakwa melakukan kesalahan di luar sempadan negara pendakwa, tanpa mengira kewarganegaraan, negara tempat tinggal atau sebarang hubungan lain dengan negara tersebut.

Negara tersebut menyokong tuntutannya atas alasan bahawa jenayah yang dilakukan dianggap sebagai jenayah terhadap semua pihak yang mana mana-mana negara diberikan kuasa untuk mengenakan hukuman. Oleh itu, konsep hukum sejagat berkait rapat dengan gagasan bahawa norma antarabangsa itu bersifat erga omnes iaitu kewajipan terhadap seluruh masyarakat dunia serta konsep jus cogens atau norma muktamad.

Pada tahun 1993, Belgium meluluskan undang-undang hukum sejagat bagi membolehkan mahkamahnya mempunyai bidang kuasa terhadap jenayah kemanusiaan yang berlaku di negara lain. Seterusnya, Augusto Pinochet pernah ditahan di London pada tahun 1998 susulan pendakwaan oleh hakim Sepanyol, Baltasar Garzón, berdasarkan kepada prinsip hukum sejagat.

Prinsip ini disokong oleh Amnesty International dan pertubuhan hak asasi manusia lain kerana mereka percaya bahawa jenayah tertentu mengancam masyarakat antarabangsa secara keseluruhannya dan masyarakat tersebut mempunyai kewajipan moral untuk bertindak. Namun, pihak lain termasuk Henry Kissinger turut menghujahkan bahawa kedaulatan negara adalah isu yang paling utama memandangkan pelanggaran hak yang berlaku di negara lain adalah di luar kepentingan berdaulat sesebuah negara dan kerana prinsip "hukum sejagat" ini boleh disalahgunakan oleh negara bagi tujuan politik.