Etimologi Ras

Menurut Online Etymology Dictionary oleh Douglas Harper, perkataan ras atau race ini ditafsirkan sebagai merujuk kepada kelompok manusia yang dijatikan oleh keturunan yang sama. Ia diperkenal ke dalam bahasa Inggeris pada tahun 1580 melalui bahasa Perancis lama rasse (1512), dari perkataan bahasa Itali, razza. Perkataan yang lebih awal dan beretimologi berbeza tetapi mempunyai konsep yang sama dengan ras ini adalah dari bahasa Latin iaitu genus yang membawa maksud, sekumpulan manusia yang berkongsi ciri seperti kelahiran, keturunan, asal usul, bangsa, salasilah, atau keluarga. Perkataan dari bahasa Latin ini selari pula dengan perkataan genos dalam bahasa Greek serta perkataan gonos yang bermaksud jati, kelahiran, keturunan atau salasilah. 

Dalam bahasa Melayu, dua istilah digunakan iaitu bangsa dan kaum. Konsep kedua-dua perkataan ini berasal dari dua tamadun pula iaitu tamadun benua kecil India dan tamadun dari Tanah Arab. Perkataan bangsa diterjemahkan sebagai nation lalu menerbitkan perkataan kebangsaan atau national dalam bahasa Inggeris. Menurut Sanskrit-English Dictionary (2008 ulangan) yang disusun oleh Monier Williams dari University of Koeln di Jerman, perkataan bangsa berasal dari bahasa Sanskrit yang bermaksud, keluarga atau 'salasilah keturunan'. Selain itu, ia merujuk kepada genre salasilah dalam sastera purba dan pertengahan dalam kesusasteraan Buddha, Hindu dan Jain. Genre vamsam ini menyerupai sejarah konvensional dalam kesusasteraan Eropah, namun berbeza kerana ia mengandungi doktrin agama dan rohani seperti kelahiran semula. Sastera vamsam ini boleh juga bertumpu kepada dinasti, keluarga, individu mulia seperti orang alim, wali keramat, sebaris guru atau susunan tradisi, atau tempat suci.