Etimologi Kesedaran

Oleh kerana bahan ini didapati dari tamadun Barat, maka bahasa Inggeris banyak sekali digunakan sebagai wahana rujukan. Perkataan "conscious" dan "consciousness" dalam bahasa Inggeris yang bermaksud kesedaran ini telah digunakan sejak tahun 1600an lagi. Rekod awal penggunaan perkataan "conscious" sebagai kata adjektif ringkas adalah untuk memberikan gambaran mengenai objek yang tidak bernyawa ("the conscious Groves", 1643).

Kata conscious ini diterbitkan dari perkataan conscius dalam bahasa Latin (con - "bersama" dan - scio "tahu") yang bermaksud "mengetahui dengan" atau "mempunyai pengetahuan bersama atau yang serupa dengan yang lain", terutamanya dalam berkongsi rahsia. Thomas Hobbes dalam karya beliau berjudul Leviathan (1651) menulis bahawa, "Di mana dua, atau lebih lelaki, mengetahui satu dan hakikat yang sama, mereka itu dikatakan sedar mengenainya satu sama lain." Selain itu, banyak sekali pengulangan frasa conscius sibi dalam karya bahasa Latin, yang diterjemahkan secara harfiah sebagai "mengetahui dengan dirinya", atau dalam erti kata lain, "berkongsi pengetahuan dengan seseorang mengenai sesuatu". Frasa ini mempunyai maksud figuratif "mengetahui sesuatu yang diketahui oleh seseorang", yang sama seperti dalam bahasa Inggeris moden, conscious, tetapi dimaksudkan dalam bahasa Inggeris sebagai "sedar mengenai seseorang" atau "menyedari tentang seseorang". Contohnya, Uskup Besar Ussher menulis pada tahun 1613, bahawa, "teramat sedar mengenai diriku akan kelemahanku yang terbesar".

Perkataan "conscientia" dalam bahasa Latin, secara literalnya bermaksud, "dengan pengetahuan", pertama kalinya muncul dalam teks hukum Romawi oleh penulis seperti Cicero. Ia bermaksud sejenis pengetahuan bersama dengan disertai nilai moral, khususnya tentang perkara yang diketahui oleh saksi mengenai perbuatan seseorang. Walaupun penulisan Rene Descartes (1596-1650) dalam bahasa Latin secara umumnya dianggap sebagai karya falsafah awal yang menggunakan perkataan "conscientia" dengan cara yang kurang sama dengan maksud tradisionalnya dan lebih dekat dengan maksud "conscience" yang difahami oleh penutur bahasa Inggeris moden, namun maksud beliau itu langsung tiada sebarang definisi di mana-mana. Dalam karya Search after Truth (Regulae ad directionam ingenii ut et inquisitio veritatis per lumen naturale, Amsterdam 1701), Descartes menulis perkataan tersebut dengan gema, conscientia, vel inferno testimonio yang diterjemahkan sebagai, "conscience, or internal testimony". Beliau mungkin memaksudkannya sebagai, pengetahuan tentang nilai pemikiran seseorang itu sendiri.

Asal konsep moden untuk kesedaran ini selalunya dikaitkan dengan John Locke yang mendefinisikan perkataan ini dalam karya beliau berjudul, Essay Concerning Human Understanding yang diterbitkan pada tahun 1690. Beliau menulis, "the preception of what passes in a man's own mind" bermaksud persepsi mengenai hal yang terlintas di pemikiran seseorang itu sendiri. Karangan ini memberikan pengaruh yang besar kepada falsafah British pada abad ke-18 masihi yang mana definisi Locke ini muncul juga dalam Dictionary (1755) yang disusun oleh Samuel Johnson.

Istilah bahasa Perancis, "cosncience selalunya didefinisikan secara kasar sama seperti "consciousness" dalam bahasa Inggeris dalam Encyclopedie bilangan 1753 oleh Diderot dan d'Alembert sebagai, "the opinion or internal feeling that we ourselves have from what we do" yang bermaksud pendapat atau perasaan dalaman yang kita sendiri punyai dari perbuatan kita.