Definisi Masyarakat dan Masyarakat Majmuk

Definisi Masyarakat

Kamus Dewan (2005) menyebut bahawa:

"Masyarakat ialah kumpulan manusia yang hidup bersama di sesuatu tempat dengan aturan dan cara yang tertentu. Individu, keluarga dan kumpulan kecil yang bersama membentuk sebuah masyarakat."

Jaringan erat yang wujud dalam kalangan anggota masyarakat khususnya melalui hubungan bersemuka dan pergaulan menimbulkan hubungan sosial yang sifatnya berulangan pula seperti kegiatan gotong royong, menjayakan majlis perkahwinan, menyambut hari kebesaran agama, ziarah menziarahi, mengadakan jamuan rumah terbuka, jamuan rakyat dan sebagainya. Kekerapan pergaulan ini mencetuskan perpaduan dalam kalangan masyarakat seterusnya membentuk unit sosial dalam masyarakat.

Rujuk perkongsian slaid berjudul Pengajian Malaysia yang dimuatnaik oleh Irsyad Zaki bagi mendapatkan maklumat lanjut berkenaan dengan subjek ini.

Definisi Masyarakat Majmuk

Masyarakat majmuk adalah kewujudan budaya, ekonomi, tempat tinggal, pegangan, ideologi politik dan sosial dalam pelbagai etnik yang berbeza. Konsep masyarakat majmuk ini dirangkaikan oleh J.S Furnival pada tahun 1948 seperti berikut:

"Di Burma, seperti di Jawa, barangkali perkara yang menarik hati pelawat adalah campuran kumpulan manusia seperti orang Eropah, Cina, India dan Bumiputera Burma. Dalam erti kata yang setepatnya, mereka ini bercampur namun mereka tidak bersatu padu. Setiap kumpulan mempunyai agama, kebudayaan, pemikiran dan cara hidup masing-masing. Sebagai individu, mereka bertembung dan bercampur tetapi hanya di pasar sahaja, berjual dan membeli. Wujud masyarakat majmuk yang terdiri daripada kumpulan manusia yang hidup berdampingan tetapi berasingan dalam satu unit politik yang sama. Malahan dalam bidang ekonomi pula, terdapat pembahagian tugas atau garis perkauman." - (T.P Jagedo, 1989; 28-29)

Jadi, rumusan kepada definisi masyarakat majmuk adalah pelbagai kelompok etnik yang tinggal di bawah satu bumbung politik dalam sesebuah negara tetapi tidak bersatu padu. Setiap kelompok mempunyai bahasa, budaya, agama, nilai hidup, pemikiran dan cara hidup yang berlainan. Dalam kata lain, mereka kelihatan hidup bersama, tetapi pada hakikatnya berasingan.