Sejarah Pengajian Hubungan Antarabangsa

Hubungan Antarabangsa (IR) mula menjadi bidang pengajian yang tersendiri di Britain. IR muncul sebagai disiplin akademik rasmi pada 1919 dengan penubuhan jawatan profesor IR iaitu Kerusi Woodrow Wilson di Aberystwyth, University of Wales. Kerusi ini dipegang oleh Alfred Eckhard Zimmern dan diwakafkan oleh David Davies.

Sekolah Perkhidmatan Diplomatik dan Antarabangsa Edmund A. Walsh di Georgetown University pula adalah fakulti IR yang tertua sekali di Amerika Syarikat. Ia ditubuhkan pada tahun 1919. Pada awal 1920an, Jabatan Hubungan Antarabangsa ditubuhkan di London School of Economic atas arahan dari Philip Noel-Baker, pemenang Hadiah Nobel Kemanan. Institut ini adalah yang pertama menawarkan banyak pilihan ijazah dalam bidang Hubungan Antarabangsa. Penubuhan pusat-pusat pengajian Hubungan Antarabangsa di Amerika Syarikat dan di Switzerland juga muncul dengan segera selepas itu.

Penubuhan jawatan-jawatan Profesor Montague Burton untuk Hubungan-Hubungan Antarabangsa di London School of Economic (LSE) dan di Oxford menjadi pemangkin kepada pengajian akademik dalam bidang ini. Selanjutnya, Jabatan Sejarah Antarabangsa di LSE juga ditubuhkan dengan fokus utamanya adalah kepada IR dalam zaman moden awal, zaman penjajahan dan zaman Perang Dingin.

Universiti terawal yang memberikan tumpuan sepenuhnya kepada pengajian IR adalah seperti Graduate Institute of International Studies atau kini dikenali sebagai Graduate Institute of International and Development Studies yang diasaskan pada 1927 bagi memberikan latihan kepada bakal diplomat yang akan berkhidmat untuk Liga Bangsa-Bangsa.

Jawatankuasa Hubungan-Hubungan Antarabangsa di University of Chicago juga menjadi salah satu pusat pengajian tinggi awal yang menawarkan ijazah sarjana bagi bidang ini pada 1928. The Fletcher School of Law and Diplomacy, kerjasama antara Tufts University dan Harvard membuka pintunya pada 1933 sebagai satu-satunya sekolah ijazah sarjana yang menawarkan pengajian hal-ehwal antarabangsa di Amerika Syarikat.

Pada 1965, Glendon College dan the Norman Paterson School of International Affairs menjadi institusi-institusi awal di Kanada yang menawarkan ijazah sarjana muda dan program sarjana dalam pengajian hubungan-hubungan antarabangsa serta hal-ehwal antarabangsa. Pada 2012, Ramon Llull Universiti memulakan ijazah sarjana awal untuk Hubungan Antarabangsa di Barcelona, Sepanyol. Kursus ini dijalankan sepenuhnya dalam bahasa Inggeris.