Bentuk Pemerintahan oleh Struktur Kuasa

1. Anarki

Anarki maksudnya adalah masyarakat tanpa pemerintahan yang dikuatkuasa secara awam atau tanpa kuasa politik. Kadang-kala ia dirujuk sebagai tiada pentadbiran. Ia adalah satu struktur yang berusaha untuk mewujudkan persatuan secara sukarela dalam kalangan agen dan berusaha untuk menghindari hierarki. Anarki adalah merujuk kepada situasi di mana tiada sebarang negara.

Hal ini boleh jadi semulajadi, sementara waktu kesan dari perang saudara dalam sebuah negera. Ia berlaku apabila sesebuah negara yang diasaskan itu dihancurkan dan kawasan itu sedang dalam tempoh peralihan tanpa sebarang kepimpinan yang jelas. Selain itu, bentuk ini dibentangkan sebagai satu pilihan yang berdaya maju dalam jangka masa panjang oleh mereka yang digelar sebagai puak anarki. Puak anarki ini menentang kewujudan negara dan bentuk hierarki lain yang bersifat paksaan. Puak anarki ini selalunya berpandangan bahawa orang ramai sepatutnya mewujudkan pertubuhan secara sukarela dan tidak bersifat hierarki di mana setiap orang saling bantu-membantu secara sukarela. Terdapat pelbagai bentuk anarki pula yang cuba mengelak dari penggunaan paksaan, keganasan, kuasa dan wibawa dalam usaha untuk menghasilkan masyarakat yang berdaya maju dan diingini.

Contoh-contoh pemerintahan jenis anarki adalah seperti berikut:

  • Makhnovia, 1918 - 1921
  • Majlis Pertahanan Rantau Aragon, 1936 - 1937
  • Pemangkin Revolusi Catalonia, 1936 - 1937

2. Konfederasi

Konfederasi atau liga ini adalah kesatuan negara-negara berdaulat yang bersatu untuk mencapai tujuan bersama serta bertindak bersama. Selalunya mereka bersatu untuk menghadapi negara-negara lain. Konfederasi biasanya dicetuskan oleh perjanjian di mana konfederasi negara-negara ini cenderung untuk diasaskan bagi berurusan dengan isu kritikal seperti pertahanan, hubungan luar dan matawang atau perdagangan dalaman dengan pemerintahan pusat diperlukan bagi menyokong ahli-ahli konfederasi. Konfederasi mewakili bentuk utama bagi intergovernmentalisme atau antara kerajaan. Konfederasi ditakrifkan sebagai 'sebarang bentuk interaksi antara negara yang berlaku berdasarkan kepada kemerdekaan dan kedaulatan atau pemerintahan. Konfederasi selalunya hampir serupa dengan federasi atau persekutuan dengan Kerajaan Persekutuan merupakan gabungan atau perikatan semua negeri di dalamnya.

Contoh-contoh pemerintahan jenis konfederasi adalah seperti berikut:

  • Konfederasi Swiss Lama, 1300 - 1798
  • Serbia dan Montenegro, 2003 - 2006
  • Konfederasi Senegambia, 1982 - 1989

3. Negara Kesatuan

Negara kesatuan adalah negara yang ditadbir sebagai satu kuasa sahaja. Pemerintah pusat dianggap sebagai tertinggi dan sebarang pembahagian pentadbiran (unit sub-nasional) hanya menjalankan kuasa yang diberikan oleh pemerintah pusat. Kebanyakan negara di dunia ini dibentuk sebagai negara kesatuan. Daripada 193 ahli Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sebanyak 165 diperintah sebagai negara kesatuan.

Contoh negara dengan pemerintahan jenis negara kesatuan ini adalah seperti berikut:

  • Republik Rakyat China
  • Republik Indonesia
  • Filipina
  • Republik Perancis
  • Republik Arab Mesir

4. Persekutuan

Persekutuan atau negara persekutuan adalah merupakan satu entiti politik yang diwarnai oleh kesatuan beberapa negeri yang berpentadbiran sendiri atau rantau di bawah satu kerajaan pusat (persekutuan). Dalam satu negara persekutuan, status negeri yang berpentadbiran sendiri yang menjadi komponen dalam persekutuan itu serta pembahagian kuasa antara negeri dan pemerintah persekutuan selalunya dipasak di dalam perlembagaan persekutuan. Ia tidak boleh diubah dengan keputusan unilateral satu pihak sahaja sama ada oleh satu kelompok, negeri atau badan politik persekutuan. Dalam bentuk negara persekutuan ini, kedaulatan kuasa dibahagikan secara rasminya antara persekutuan dan rantau konstituensi dalam negara tersebut. Oleh itu, rantau tersebut pada tahap tertentu boleh mengawal hal-ehwal dalaman rantaunya sendiri.

Contoh negara dengan pemerintahan jenis negara persekutuan ini adalah seperti berikut:

  • Australia
  • Kanada
  • Republik India
  • Mexico
  • Russia
  • Amerika Syarikat