Aktor Negara dan Aktor Bukan Negara

Syarikat, Badan Bukan Kerajaan (NGO), parti politik, kumpulan tidak rasmi dan individu dikenali sebagai aktor bukan negara. Aktor bukan negara juga boleh melakukan pelanggaran hak asasi manusia namun tidak tertakluk kepada undang-undang hak asasi manusia selain daripada Undang-Undang Kemanusiaan Antarabangsa, yang terpakai kepada seseorang individu.

Syarikat multinasional memainkan peranan yang semakin besar di peringkat dunia dan bertanggungjawab atas sejumlah besar pelanggaran hak asasi manusia. Walaupun kerangka perundangan dan moral yang merangkumi tindakan kerajaan juga telah berkembang dengan agak baik, namun situasi yang berkaitan dengan syarikat multinasional pula masih lagi diselubungi kontroversi dan tidak ditakrifkan dengan jelas.

Syarikat multinasional sering menganggap tanggungjawab utama mereka adalah terhadap pemegang saham. Bukannya terhadap pihak yang terkesan oleh tindakan mereka. Syarikat sebegini sering kali lebih besar berbanding ekonomi negara tempat mereka beroperasi. Mereka mampu memegang kuasa ekonomi dan politik yang besar.

Dalam hal ini, tiada sebarang perjanjian antarabangsa yang wujud untuk mengawal selia tingkah laku syarikat secara khusus berkaitan dengan hak asasi manusia manakala perundangan domestik pula berbeza-beza. Jean Ziegler, Pelapor Khas Suruhanjaya Hak Asasi Manusia PBB mengenai hak untuk mendapatkan makanan, menyatakan dalam satu laporan pada tahun 2003 bahawa, "pertambahan kuasa syarikat transnasional serta peluasan kuasa mereka melalui penswastaan, nyah kawal selia dan pengurangan peranan negara juga membawa maksud kini tiba masanya untuk kita membangunkan norma perundangan yang mengikat, bagi memastikan syarikat mematuhi standard hak asasi manusia dan mengekang kemungkinan penyalahgunaan kedudukan kuasa mereka".

Pada Ogos 2003, Sub-Suruhanjaya bagi Promosi dan Perlindungan Hak Asasi Manusia di bawah Suruhanjaya Hak Asasi Manusia telah menghasilkan draf Norma mengenai tangggungjawab syarikat transnasional dan perusahaan perniagaan lain berkaitan dengan hak asasi manusia. Draf ini telah diteliti oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia pada tahun 2004. Namun, ia tidak mempunyai status mengikat terhadap syarikat-syarikat itu dan tidak dipantau pelaksanaannya.

Di samping itu, Matlamat Pembangunan Mapan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (SDG) yang ke-10 menyasarkan pengurangan ketidaksamaan secara ketara menjelang tahun 2030 melalui penggalakan perundangan yang bersesuaian.