Akses Suruhanjaya
Aduan-aduan yang melibatkan pelanggaran hak asasi manusia boleh dibuat oleh orang perseorangan yang terjejas atau oleh sekumpulan orang yang terjejas akibat pelanggaran hak asasi manusia. Aduan juga boleh dibuat bagi pihak orang atau mereka yang terjejas.
Cara Suruhanjaya Berfungsi
Aduan-aduan berhubung dengan pelanggaran hak asasi manusia seperti penahanan tidak sah, diskriminasi perkauman dan pelanggaran kepada kebebasan berucap, kebebasan beragama, kebebasan berhimpun dan berpersatuan serta kebebasan untuk mendapatkan pendidikan boleh dibuat melalui Suruhanjaya. Aduan-aduan boleh dibuat secara bertulis dalam sebarang bahasa namun sebaik-baiknya aduan hendaklah ditulis dalam bahasa Melayu atau dalam bahasa Inggeris. Aduan-aduan ini akan difailkan dan boleh dijejaki semula secara atas talian di Suruhanjaya. Aduan-aduan yang diterima adalah sulit. Nombor kad pengenalan diperlukan bagi menghantar aduan secara atas talian.
Aduan haruslah menyatakan mengenai hak apakah yang dilanggar dan bagaimana hak-hak tersebut telah dilanggar, hak siapakah yang dilanggar dan siapakah yang melanggar hak tersebut? Di manakah dan bilakah kejadian pelanggaran hak asasi manusia itu berlaku?
Pengadu akan diberikan makluman sama ada aduan tersebut boleh diterima atau sebaliknya. Suruhanjaya tidak membuat siasatan mengenai aduan yang berkaitan dengan dakwaan pelanggaran yang tertakluk kepada prosiding di sebarang peringkat mahkamah yang sedang berlangsung termasuklah sebarang rayuan atau sekiranya kes tersebut sudah diputuskan keputusannya di mahkamah. Suruhanjaya tidak akan melayan hal-hal yang remeh dan temeh!
Jika aduan tersebut diterima, maka siasatan akan berlangsung dan penyiasat-penyiasat di bahagian aduan dan pemantauan akan mengenalpasti jika berlaku sebarang pelanggaran hak asasi manusia ke atas pengadu. Pasukan penyiasatan ini akan menjanakan laporan yang akan diserahkan kepada agensi-agensi penguatkuasaan yang relevan bagi tindakan lanjut. Pengadu akan dimaklumkan mengenai status siasatan kes mereka.
Selain itu, Suruhanjaya juga memainkan peranan sebagai orang tengah bagi kes-kes melibatkan pelanggaran hak asasi manusia. Walau bagaimanapun, ia tertakluk pula kepada persetujuan kedua-dua belah pihak.
Hasil Siasatan
Apabila Suruhanjaya telah dapat mengenalpasti bahawa pelanggaran hak asasi manusia telah berlaku, maka ia akan merujuk perkara ini kepada pihak-pihak berwajib atau kepada orang perseorangan. Suruhanjaya akan mengemukakan syor-syor yang boleh memperbaiki keadaan di masa hadapan.
Kuasa Penguatkuasaan
Suruhanjaya tidak mempunyai kuasa penguatkuasaan. Suruhanjaya bukan sebuah agensi penguatkuasaan. Hasil-hasil penemuan dalam laporan Suruhanjaya boleh diterbitkan bagi memberi tekanan kepada pihak-pihak yang terlibat dalam pelanggaran hak asasi manusia dan untuk pematuhan. Penyiasat-penyiasat Suruhanjaya tidak dibenarkan masuk ke tapak-tapak syarikat swasta tanpa kebenaran mereka. Suruhanjaya tidak mempunyai mandat perundangan untuk mendapatkan waran geledah dari mahkamah. Suruhanjaya juga tidak mempunyai aturan untuk mempermudah tindakan bagi mendapatkan waran geledah secara terus dengan agensi-agensi penguatkuasaan undang-undang.
Di Luar Bidang Kuasa
Suruhanjaya tidak boleh menjadi representasi kepada sesuatu pihak untuk menuntut sejumlah pampasan terhadap sesuatu tuntutan. Suruhanjaya tidak menyediakan khidmat nasihat perundangan dan berpandangan bahawa perkara yang melibatkan perundangan mestilah dirujuk kepada pengamal undang-undang. Dari segi pampasan, Suruhanjaya berpandangan bahawa proses pemberian jumlah pampasan telah dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang yang sedia ada dan tiada penafian hak berlaku semasa proses tersebut dijalankan.
Mahkamah adalah institusi tertinggi bagi keadilan. Oleh itu, kes-kes yang dirujuk ke Mahkamah mengikut Seksyen 12 Akta 597 adalah berada di luar bidang kuasa Suruhanjaya. Suruhanjaya berhak menolak kes-kes seumpama ini atau merujuknya kepada pihak yang mempunyai kuasa untuk menguruskan kes-kes sebegini.

Sumber
- Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) (laman sesawang rasmi)